Selasa, 11 Jun 2019 | 1:28pm
PENGARAH Hospital Kuala Krai, Datuk Dr Mohd Salleh Mat Jusoh (tengah) ketika melawat pesakit Orang Asli di Hospital Kuala Krai. NSTP/Siti Norhidayatidayu Razali

4 Orang Asli terima rawatan rapi di Hospital Kuala Krai

KUALA KRAI: Empat pesakit Orang Asli suku Batek ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai sejak Ahad lalu akibat gangguan saluran pernafasan.

Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh, berkata ia membabitkan dua pesakit wanita masing-masing berumur 12 dan 27 tahun yang ditempatkan di ICU, manakala dua pesakit kanak-kanak berusia 39 hari dan tiga bulan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

“Keadaan empat pesakit ini dilaporkan stabil dan kami sentiasa memantau perkembangan kesihatan mereka dari semasa ke semasa,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Salleh berkata, sehingga hari ini, seramai 24 pesakit Orang Asli suku Batek sedang menerima rawatan sejak dimasukkan ke hospital itu beberapa hari lalu dan ditempatkan di wad kluster khas.

“Seramai 13 pesakit lelaki dan 11 pesakit wanita sedang menerima rawatan dengan pemantauan dilakukan 23 kakitangan hospital termasuk doktor pakar yang ditugaskan bagi memastikan keadaan semua pesakit berada dalam keadaan baik serta sihat,” katanya.

Dr Mohd Salleh berkata, pihaknya turut mengehadkan lawatan orang ramai ke wad kluster berkenaan bagi mengelak jangkitan daripada merebak.

Beliau berkata, setakat ini tiada pesakit dibenarkan pulang dan pihaknya akan terus melakukan rawatan sehingga keadaan pesakit pulih. - BERNAMA

Berita Harian X