Selasa, 11 Jun 2019 | 1:39pm
AKTIVITI perlombongan di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dirakam lensa Ahli Dewan Negara, Senator Husam Musa. NSTP/Email
AKTIVITI perlombongan di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dirakam lensa Ahli Dewan Negara, Senator Husam Musa. NSTP/Email

Siasat lombong haram - Husam

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan digesa menyiasat kewujudan sebuah lombong haram berdekatan penempatan Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, yang dikhuatiri mencemarkan sumber air di perkampungan berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata ini kerana Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang melawat Kuala Koh semalam, mengesahkan lombong berkenaan beroperasi tanpa lesen.

Beliau berkata, siasatan itu perlu disegerakan memandangkan tiada maklumat menyatakan nama pelombong atau sebarang maklumat lain dipamerkan di kawasan lombong berkenaan.

Katanya, ketika lawatan dibuat, lombong berkenaan masih beroperasi, manakala penyelia lombong mengaku menggunakan bahan letupan yang tidak dinyatakan jenis bahan kimia digunakan.

“Ini lombong terdekat dengan penempatan Orang Asli Kuala Koh. Terdapat dua anak sungai mengalir dari sini.

“Sama ada kematian Orang Asli berpunca daripada pencemaran lombong ini atau tidak, pihak penguatkuasa perlu bertindak. kerana lombong beroperasi tanpa lesen. Kenapa mereka belum bertindak? Dan tentunya senarai ingin tahu yang panjang berkaitan lombong ini. Siapa yang mengaut keuntungan? Berapa banyak?

“Harap Kerajaan Kelantan dapat berbuat sesuatu dan agensi Kerajaan Persekutuan juga tidak berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan sudah mengambil sampel air dari tiga lokasi di Kampung Kuala Koh, bagi menganalisis tahap pencemarannya.

Dua sampel diambil di kolam takungan di kawasan lombong, manakala satu lagi diambil di tadahan bukit dan semua sampel air itu dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis dengan keputusannya akan diketahui dalam masa seminggu.

Akhbar sebelum ini melaporkan berlaku pencemaran air bukit dan anak Sungai Lebir dekat Kampung Kuala Koh yang dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih mangan atau keluli, sehingga menyebabkan kematian 14 penduduk Orang Asli suku Batek, setakat ini.

Berita Harian X