Selasa, 11 Jun 2019 | 7:19pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

3 lagi Orang Asli dirawat di ICU

PUTRAJAYA: Tiga lagi Orang Asli perkampungan Kuala Koh, Gua Musang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana jangkitan pada saluran pernafasan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata mereka dirawat di ICU Hospital Kuala Krai sejak semalam

Katanya, sebelum ini hanya seorang yang menerima rawatan di ICU, iaitu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu.

Beliau berkata, seramai 99 Orang Asli menerima rawatan berkaitan kes berkenaan sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Katanya, seramai 40 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Ciku dan Aring, manakala 22 dirawat di wad biasa Hospital Gua Musang serta 18 di Hospital Kuala Krai.

“Pada masa sama, 14 kes dicatatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli di perkampungan terbabit menjadikan keseluruhan 99 kes setakat hari ini,” katanya kepada media selepas Sesi Town Hall Menteri Kesihatan Bersama Pengamal Perubatan Swasta di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan sedang menunggu hasil ujian untuk mengenal pasti jenis mikroorganisma yang mengakibatkan kematian dua Orang Asli di Kuala Koh.

Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap dua mayat terbabit juga mengesahkan kematian bukan disebabkan bahan kimia.

Bagaimanapun, katanya, keputusan sama ada sumber air digunakan penduduk Orang Asli di kampung itu turut menjadi punca kematian, hanya dapat dipastikan selepas keputusan ujian sampel air yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar diperoleh.

Katanya, mulai hari ini polis sudah mula membuat sekatan untuk mengehadkan kemasukan orang luar ke kampung itu dan hanya petugas berkaitan dibenarkan masuk.

“Wakil media yang membuat liputan juga perlu melapor diri kepada Jabatan Kesihatan untuk dipantau keadaan kesihatan mereka selepas keluar.

“Setakat ini kita masih belum tahu virus atau jenis mikroorganisma yang menjadi punca kepada semua kes ini. Kita menunggu ujian serologi dan ‘polymerase chain reaction (PCR),” katanya.

Berita Harian X