Rabu, 12 Jun 2019 | 8:47pm

PKR kutuk politik jijik, keji - Anwar

PETALING JAYA: PKR mengutuk dan menolak amalan politik jijik serta keji yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi merosakkan peribadi mana-mana pemimpin parti termasuk kes dilalui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ini.

Sambil mengakui terkejut dan tidak memahami mengapa amalan politik seperti itu masih menjadi trend, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau menyifatkan ia satu perbuatan bertentangan nilai moral, Islam dan etika insan.

“Saya sangka, saya orang terakhir yang menempuhnya, tetapi ia masih berlaku lagi. Sukar untuk memahaminya.

“Namun, PKR membantah dan menolak amalan ini kerana ia bertentangan dengan moral, nilai Islam dan etika serta semangat politik.

“Ini bukan caranya untuk kita menilai dan terbabit dalam politik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Mesyuarat itu tidak dihadiri Mohamed Azmin selaku Timbalan Presiden PKR.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Dr Xavier Jayakumar.

Mesyuarat berlangsung selama dua jam itu membincangkan isu penyebaran video dikaitkan dengan Mohamed Azmin dan tindakan yang perlu diambil parti bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) mengesahkan kedudukan Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR juga kekal buat masa ini sehingga parti membincangkan lebih lanjut perkara itu.

Katanya, parti juga membuat keputusan untuk tidak membuat laporan polis susulan penyebaran video berkenaan memandangkan siasatan sedang dijalankan polis.

“Saya tegaskan PKR menyokong siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes ini.

“Kita berharap Mohamed Azmin dan keluarga bersabar serta tabah dengan ujian ini,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau sudah berhubung dengan Mohamed Azmin kelmarin dan bertanyakan mengenai isu video berkenaan panjang lebar sebelum bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau (Mohamed Azmin) memohon maaf dan dalam isu ini, beliau menyerahkan kepada Biro Politik untuk membuat keputusan,” katanya.

Anwar berkata, PKR juga belum membuat keputusan bentuk tindakan akan dikenakan terhadap ahli parti yang dikatakan terbabit dengan video dikaitkan Mohamed Azmin.

“Sebarang keputusan akan dibuat pada sidang (mesyuarat) akan datang,” katanya.

Beliau turut menafikan penyebaran video itu satu konspirasi untuk merosakkan parti dan kepemimpinannya kerana tidak mempunyai bukti mengenainya.

“Kami fikir ia hanya satu serangan terkutuk dan kami tidak ada bukti mengaitkan mana-mana ahli parti terbabit dalam penyebaran video itu,” katanya.

1547 dibaca
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
Berita Harian X