Khamis, 13 Jun 2019 | 11:36am

Kanak-kanak Orang Asli masih tenat

KOTA BHARU: Keadaan kanak-kanak Orang Asli yang dijangkiti radang paru-paru di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) masih lagi tenat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, berkata sehingga kini Nasri Rosli, 3, ditempatkan di Bilik Asingan Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik.

Katanya, bagaimanapun keadaannya stabil di bawah pemantauan rapi pihak hospital.

“Sebelum ini, kanak-kanak ini ditempatkan di Hospital Kuala Krai sebelum dirujuk ke HRPZ II pada 9 Jun lalu untuk rawatan lanjut.

“Keadaan kanak-kanak ini masih tenat tapi sedang diberi kawalan rapi dan stabil,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Waytha melawat dua beranak Orang Asli Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang menerima rawatan di HRPZ II.

Beliau turut mendengar taklimat daripada Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkenaan keadaan terkini pesakit.

Tinjauan di hospital turut mendapati kanak-kanak ditempatkan di sebuah bilik khas dan masih menggunakan alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun tiada ahli keluarga Orang Asli itu di pekarangan hospital.

Waytha melawat Rosli yang ditempatkan di wad berasingan di HRPZ II, Kota Bharu. - NSTP/Zaman Huri Isa

Mengulas lanjut, keadaan bapa kanak-kanak itu Rosli Jong, 30 yang ditempatkan di wad berasingan semakin baik.

“Saya difahamkan yang pesakit boleh keluar dalam beberapa hari dan mungkin ditempatkan lebih dekat dengan anaknya,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak HRPZ II yang memberi komitmen tinggi merawat pesakit Orang Asli yang ditempatkan di sini.

Waytha diiringi Dr Selasawati (dua dari kiri) dan Ketua Jabatan Pediatrik, Dr Nor Azni Yahya (kiri) melawat Nasri yang ditempatkan di Bilik Asingan, Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik, HRPZ II, Kota Bharu. - NSTP/Zaman Huri Isa
Berita Harian X