Khamis, 13 Jun 2019 | 12:42pm

Tiupkan ucapan semangat buat Ainul Mardhiah - Ibu

KUALA LUMPUR: Ibu kepada bayi, Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi, 24, meminta rakyat Malaysia untuk meniupkan ucapan semangat buat anaknya yang kini semakin stabil.

Menerusi perkongsiannya di akaun Instragram, Nurul Erwani, berkata beliau mengalu-alukan ucapan atau kata-kata untuk Ainul Mardhiah sebagai penguat semangatnya supaya terus sihat.

“Any (sebarang) ucapan atau kata-kata untuk Ainul Mardhiah, nanti saya bacakan padanya.

“Silakan. Insya-Allah setiap hari saya akan bacakan pada Ainul Mardhiah nanti. Ainul Mardhiah perlukan semangat kita,” katanya.

Sejak ia dikongsikan beberapa jam yang lalu, ruangan komen dibanjiri pelbagai ucapan semangat dari netizen yang mengikuti perkembangan Ainul Mardhiah sejak awal lagi.

Antaranya, pengguna Instagram @mrs_shakiroh, berkata Ainul Mardhiah anak luar biasa dan semoga beliau mendapat perlindungan Allah.

“Ainul Mardhiah, wajahmu seindah namamu sayang. Semangat dan kekuatanmu sangat luar biasa di saat usiamu baru ingin mengenali dunia.

“Semoga kamu membesar menjadi anak yang solehah dan semoga Allah sentiasa melindungimu wahai bidadari syurga,” katanya.

Pengguna Instagram @myyatiibrahim pula berkata, kisah Ainul Mardhiah banyak mengajar manusia erti kemanusiaan dan ketabahan

.

“Terima kasih sayang kerana mengajar kami semua erti kemanusiaan dan ketabahan.

“Semoga Ainul Mardhiah kuat agar dapat membesar dengan sihat dan menjadi kebanggaan ibu dan ayah dan kesayangan semua,” katanya.

Selain itu, tidak kurang juga ada di antara netizen yang berbesar hati untuk berjumpa denganAinul Mardhiah.

Pengguna Instagram @nanafhana yang berasal dari Melaka berkata, beliau berkeinginan untuk berjumpa dengan Ainul Mardhiah memandangkan mereka menetap di negeri yang sama.

“Ainul sayang, anak aunty pun nama Ainul juga tau. Semoga awak terus kuat dan sihat seperti kanak-kanak lain.

“Boleh tersenyum dan gembira tanpa rasa derita. Kalau diberi peluang aunty nak sangat jumpa Ainul. Rumah aunty di Melaka juga, terus kuat tuan puteri kecil,” katanya.

Kisah penuh inspirasi Ainul Mardhiah ini turut mendapat perhatian netizen yang bergelar bapa.

Pengguna Instagram, @rosham_hamzah berharap suatu hari nanti Ainul Mardhiah mampu memberi ucapan sayang terhadap ibu bapanya yang sudah banyak berkorban dan berjuang demi kesihatan dan kesejahteraannya.

“Disebabkan Ainul sama nama dengan anak acik, acik teringin nak bagi kata-kata semangat. Tabahkan hati ye Ainul, Ainul kuat lupakan bab sakit semua.

“Yang penting Ainul boleh cakap nanti ‘Ainul sayang ayah dan ibu’,” katanya.

Pengguna Instagram @mrmokhzani turut mahu berkongsi kegembiraannya yang bakal menerima cahaya mata sekali gus memohan ke hadrat Ilahi supaya Ainul Mardhiah terus berjaya dan menjadi kebanggaan keluarga.

“Saya bercakap sebagai seorang bapa yang akan menyambut kelahiran anak kedua nanti. Saya ucapkan kesyukuran dan tahniah di atas pembedahan yang berjaya ke atas adik Ainul.

“Semoga adik Ainul terus sihat dan kuatkan semangat serta membesar menjadi anak yang membanggakan keluarga, amin,” katanya.

Berita Harian X