Khamis, 13 Jun 2019 | 2:02pm

B20 bakal dipasar di stesen minyak seluruh negara

GEORGETOWN: Kerajaan berhasrat untuk memasarkan biodesel B20 di stesen minyak di seluruh negara, yang antara lain muncul sebagai mekanisme untuk mengawal industri berasaskan sawit.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim, berkata pelaksanaan cadangan itu bagaimanapun akan diumumkan selepas perbincangan dibuat bersama syarikat petroleum, pengeluar dan pengeksport kereta serta beberapa pihak berkaitan lain.

Beliau berkata, jawatankuasa bersama membabitkan Kementerian Industri Utama, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Perdana Menteri juga sudah ditubuhkan bagi mengendalikan perkara itu.

“Jawatankuasa ini sudah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet semalam, bagi membincangkan kaedah pelaksanaan untuk memasarkan B20 kerana ia membabitkan perundangan dan peraturan yang turut membabitkan kementerian dan agensi lain.

“Ini kerana, kita tahu kementerian saya tak boleh bekerja sendirian dalam hal berkenaan, selain perlu mengeluarkan peraturan khusus dan kerjasama erat dengan pihak berkaitan.

“Kita berharap kaedah ini boleh guna lebih banyak minyak sawit dalam negara, khususnya bagi sektor pengangkutan awam dan industri, sekali gus menaikkan harga komoditi ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pelaksanaan Biodesel B7 dalam Sektor Industri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr Tan Yew Chong; Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) negeri, Datuk Dr Ooi Eng Hock.

Dalam pada itu, beliau berkata, harga sawit dijangka mengukuh menjelang tahun hadapan selepas menyaksikan stok sawit Malaysia menyusut 10.3 peratus kepada 2.45 juta tan pada Mei lalu, terendah dalam tempoh 10 bulan.

“Ini adalah perkembangan positif. Stok minyak sawit pada April lalu adalah 2.73 juta tan dan ia menyusut kepada 2.45 juta tan pada Mei. Bagaimanapun, penjualannya bergantung pada harga minyak antarabangsa.

“Selain itu, MPOB, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), kementerian dan sektor swasta gigih untuk eksport lebih banyak minyak sawit ke luar negara,” katanya.

Mengulas pengharaman penggunaan minyak sawit di negara Eropah, beliau berkata, Malaysia kini masih mengeksport komoditi itu walaupun kesan dagangan masih belum berada pada tahap efektif.

“Peraturan diluluskan Parlimen Eropah itu akan dikaji semula pada 2021 dan dalam jangka dua tahun akan datang ini ada banyak perkara yang kita harus lakukan selain melobi kerajaan Kesatuan Eropah.

“Kita juga perlu buat lebih banyak untuk penambahbaikan industri sawit dengan melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan ini adalah mesej yang cuba kita sampaikan kepada dunia,” katanya.

Teresa Kok berucap pada Seminar Pelaksanaan Biodiesel B7 dalam Sektor Industri di Georgetown. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X