Jumaat, 14 Jun 2019 | 10:06am
Lokman Adam dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini. - Foto NSTP

Lokman Adam dibebaskan dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan bekas Ahli Parlimen Padang Serai yang juga ahli MIC, N Gobalakrishnan dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.

Mereka ditahan malam tadi selepas enggan bekerjasama dengan pegawai penyiasat polis berhubung siasatan klip video seks sejenis yang didakwa membabitkan seorang menteri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata dua individu berkenaan dibebaskan pada kira-kira jam 7 pagi ini selepas selesai siasatan.

“Kedua-duanya dijamin kira-kira jam 7 pagi ini selepas selesai siasatan,” katanya pada BH, hari ini.

Semalam, Fadzil dilaporkan berkata Lokman ditahan selepas enggan bekerjasama dengan pegawai penyiasat polis yang ke rumahnya di Taman Teknologi, Kajang.

“Pada jam kira-kira 6.45 petang, pegawai dan anggota daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Pasukan Forensik PDRM Bukit Aman sedang menjalankan siasatan bersabit kes 504 Kanun Keseksaan di rumah Datuk Lokman Adam di Taman Teknologi, Kajang.

“Semasa siasatan dijalankan polis mengarahkan beliau untuk menyerahkan telefon bimbit untuk diperiksa, namun beliau enggan memberikan kerjasama dan menjerit memaki hamun pegawai polis yang sedang menjalankan tugasnya.

“Turut bersama beliau ketika itu adalah seorang lelaki yang juga menghalang tugas polis dan mengherdik polis serta melakukan beberapa provokasi lain.

“Kedua-dua mereka kemudian ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya.

Sebelum ini, Lokman dipanggil ke JSJ Bukit Aman berhubung kes video lucah membabitkan seorang lelaki yang didakwa mirip seorang menteri, selepas dia membuat laporan polis ke atas orang yang menyebarkan video lucah dan melakukan aksi video lucah.

Berita Harian X