Jumaat, 14 Jun 2019 | 12:57pm
Mohamad Ashraf dilaporkan hilang pada 24 Mac lalu apabila pihak penganjur GUT 2019 dan rakannya yang membuat pencarian gagal menemuinya selepas acara tamat pada jam 2 petang, 23 Mac lalu.
Mohamad Ashraf dilaporkan hilang pada 24 Mac lalu apabila pihak penganjur GUT 2019 dan rakannya yang membuat pencarian gagal menemuinya selepas acara tamat pada jam 2 petang, 23 Mac lalu.

Bukan serpihan tulang Acap

IPOH: Serpihan tulang yang ditemui di Gua Kandu, Gopeng pada April lalu bukan milik Mohamad Ashraf Hassan, yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail 2019.

Polis membuat pengesahan itu selepas menerima hasil laporan Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dari Jabatan Kimia yang mendapati serpihan tulang itu tidak sepadan dengan DNA ibu dan abang Mohamad Ashraf.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata bedah siasat dan ujian DNA mendapati serpihan tulang yang ditemui pada 20 April lalu itu bukan milik Mohamad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap.

KETUA Polis Perak, Datuk Razarudin Husain
KETUA Polis Perak, Datuk Razarudin Husain

“DNA tulang ditemui itu tidak sepadan dengan DNA Siti Maznah Khamis iaitu ibu dan juga Mohamad Azlan Hassan iaitu abang kandung Acap. DNA tulang itu juga tidak terdapat di dalam data Jabatan Kimia.

“Pemilik sebenar tulang itu tidak dapat dikenal pasti selepas semakan mendapati ia tiada dalam data Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Razarudin berkata, hasil analisis sampel tanah iaitu warna tanah pada serpihan tulang dan warna tanah di lokasi penemuan mendapati ia tidak sama, sekali gus mengesahkan serpihan tulang itu bukan berasal dari lokasi penemuan.

“Daripada semua penelitian dan laporan berkenaan, polis mendapati serpihan tulang ditemui itu bukan milik Acap dan tidak diketahui pemiliknya serta bukan berasal dari lokasi penemuan iaitu Gua Kandu, Gopeng,” katanya.

Serpihan tulang ditemukan dekat Gua Kandu, Gopeng bukan milik Mohamad Ashraf - Ketua Polis Perak
Serpihan tulang ditemukan dekat Gua Kandu, Gopeng bukan milik Mohamad Ashraf - Ketua Polis Perak

Media sebelum ini melaporkan, orang ramai serta penduduk kampung yang melakukan pencarian Acap, menemui serpihan tulang dipercayai tulang lama di dalam Gua Kandu, Gopeng, kira-kira jam 1 tengah hari, 20 April lalu.

Serpihan itu membabitkan satu tulang panjang seakan tulang betis dan lapan serpihan berukuran lebih kurang 15 sentimeter ke 20 sentimeter yang ditemui itu kemudiannya diambil untuk ujian pengesahan.

Acap dilaporkan hilang pada 24 Mac lalu apabila pihak penganjur GUT 2019 dan rakannya yang membuat pencarian gagal menemuinya selepas acara tamat pada jam 2 petang, 23 Mac lalu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pelbagai pihak termasuk bomba, polis, sukarelawan, rakan dan keluarga sebelum dihentikan pada 17 April lalu selepas hampir sebulan kehilangannya.

Berita Harian X