Jumaat, 14 Jun 2019 | 7:04pm

Ainul Mardhiah seronok hisap jari sejak masuk wad biasa

KUALA LUMPUR: “Ainul jalan jalan dalam hospital tadi. Dah boleh masuk wad biasa. Seronok dia hisap jari tengok kiri kanan,” kata ibu Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi, 24, dalam catatan di akaun Instagramnya.

Katanya, beliau bersyukur anaknya sudah masuk ke wad biasa dan semua jarum di tangan dan kaki Ainul Mardhiah sudah dicabut.

“Syukur Alhamdulillah, Ainul dah ‘ready’ nak masuk ke wad biasa hari ini. Jarum jarum sebelum ni yang ada di tangan dan kaki Ainul semua Dr dah cabut. Nurse dekat wad semua dah tunggu Ainul. Tak sabar nak jumpa Ainul.

“Tangan Ainul memang tak boleh duduk diam. Ainul mesti nak pegang ‘something’ baru dia akan diam dan tidur. Kalau selimutkan atau balut tangan dia tak sampai seminit dia dah keluarkan. Tengok baby baby lain dalam wad ni semua diam je kena balut sampai dekat Ainul sorang je yang nak bebaskan tangan.

“Hari ni memang Ainul buka mata je nak cakap cakap dengan mama. Ainul dah pandai nak tutup mulut sikit sikit. Ainul senyum bila mama bacakan Al Fatihah. Semua sayang Ainul,” katanya yang turut menyertakan bersama video Ainul Mardhiah yang sedang menghisap jarinya.

Sementara itu, bapa bayi itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata Ainul Mardhiah sudah dimasukkan wadnya semula.

“Alhamdulillah. Tengok lah tangannya tu. Nurse pun sampai dah tak tahu nak buat apa. Nak ikat, mereka kesian. Last sekali, biar je tangan dia keluar,” katanya yang turut menyertakan video terbaharu Ainul Mardhiah.

Ainul Mardhiah, sembilan bulan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya di sebuah hospital, di London, Isnin lalu.

Pembedahan yang mendapat liputan meluas media dan viral di media sosial itu adalah hasil inisiatif pelatih pakar bedah warganegara Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Lebih manis pembedahan yang diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway itu disertai doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial, Dr Julian Ong yang berasal dari Pulau Pinang.

AINUL Mardhiah sudah mula menghisap jari selepas pembedahan membuang tumor di mulutnya, Isnin lalu.
AINUL Mardhiah sudah mula menghisap jari selepas pembedahan membuang tumor di mulutnya, Isnin lalu.
Berita Harian X