Sabtu, 15 Jun 2019 | 1:02pm
Nuridah menyampaikan ucaptama sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS ke-59 di Bukit Gambang Resort City. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

'Buat perancangan untuk Muslimat PAS dekati media sosial'

KUANTAN: Ahli PAS perlu mendekati perkembangan menerusi media sosial bagi mengelak kesilapan lampau yang menyumbang kepada prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh, berkata bedah siasat PRU-14 mendapati, faktor serangan di media sosial menyumbang kepada kekalahan tertinggi PAS sehingga mencecah 75 peratus.

“Kita yakin golongan wanita tidak ketinggalan dalam kepesatan penggunaan media sosial, namun mungkin kita terlepas pandang peranan yang sepatutnya dimanfaatkan tidak merebut peluang dalam lapangan ini, selain tidak diberi peranan serius,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS ke-59 di Bukit Gambang Resort City, di sini, hari ini.

Katanya, ketiadaan usaha bersepadu dan pendedahan dalam kemahiran menguasai media sosial menyebabkan peranan Muslimat PAS seolah-olah diketepikan.

“Kita tiada perancangan dan pendedahan dalam kemahiran menguasai media sosial atau membuat jaringan kerjasama dengan entiti lain seperti Penerangan PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS dan sebagainya,” katanya.

Nuridah turut menyentuh pendekatan solidariti PAS bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN), selain menyambut baik keterbukaan pembangkang lain yang sedia menerima dasar perjuangan parti itu.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) menerima plak penghargaan Anugerah Tokoh Perpaduan Ummah daripada Nuridah ketika Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS ke-59 di Bukit Gambang Resort City. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Bagaimanapun, katanya, masih ada pihak yang keliru apabila melihat Dewan Muslimat PAS terbabit dengan program bersama Wanita UMNO.

“Kita bekerjasama secara terbuka kerana usaha ini mampu memperkasakan agenda penyatuan ummah yang diikat dengan ‘hablun minallah’ dan semangat persaudaraan Islam,” katanya.

119 dibaca
Berita Harian X