Sabtu, 15 Jun 2019 | 1:22pm
Sebahagian Orang Asli Suku Batek menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan akan di pindahkan ke pusat pemindahan sementara di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani bagi membuat pemantauan sebelum dibenarkan pulang ke kampung mereka di Kuala Koh. - NSTP/Fathil Asri

112 suku Batek terima rawatan

GUA MUSANG: Orang Asli suku Batek yang menerima rawatan meningkat kepada 112 kes sehingga tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata jumlah meningkat sembilan kes berbanding 103 pesakit pada Khamis lalu.

Daripada jumlah berkenaan, katanya, 48 pesakit ditempatkan di wad biasa, empat pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu tiga di Hospital Kuala Krai dan seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Seramai 19 lagi pesakit ditempatkan di Rumah Inap Orang Asli Hospital Gua Musang, dan 41 lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media di sini, hari ini.


Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat (dua dari kanan) meninjau persiapan bagi memindahkan Orang Asli Suku Batek di pusat pemindahan sementara di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani, Gua Musang. - NSTP/Fathil Asri

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, jumlah statistik berkenaan hanya merangkumi dua kematian dan tidak termasuk 12 kematian Orang Asli suku Batek yang tidak dilaporkan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, 14 Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia dipercayai jangkitan radang paru-paru.

Bagaimanapun, hanya dua kematian dilaporkan kepada pihak berkuasa, manakala selebihnya dikebumikan tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Berita Harian X