Sabtu, 15 Jun 2019 | 4:05pm

Hanya 10 peratus kediaman bertingkat asing sisa pepejal

PUTRAJAYA: Hanya 10 peratus daripada 1.25 juta kediaman bertingkat di tujuh negeri melaksanakan pengasingan sisa pepejal di premis masing-masing meskipun sudah tiga tahun peraturan itu dikuatkuasakan.

Ini bermakna penghuni di 125,000 premis bertingkat menjadikan pengasingan sampah sebagai amalan mereka, manakala selebihnya masih liat walaupun keengganan mereka berbuat demikian boleh mendatangkan musibah kepada negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dr Mohd Pauze Mohamad Taha, berkata sehingga 30 April lalu, bilangan premis terbabit dengan peraturan itu adalah kira-kira 3.45 juta premis bertanah dan 1.25 juta premis bertingkat.

Katanya, pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di punca bagi kategori premis bertanah adalah positif kerana semakin ramai yang akur dengan peraturan itu.

“Bagaimanapun, bagi premis bertingkat amalan itu dilihat belum menjadi amalan mereka. Kalau pengasingan sisa pepejal ini berterusan tidak diamalkan, ia akan menyumbang masalah kepada negara yang berdepan isu kapasiti dan jangka hayat tapak pelupusan sampah.

“Tekanan kepada tapak pelupusan sampah boleh dikurangkan dengan amalan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal,” katanya kepada BH.

7 negeri wajib laksana pengasingan sisa pepejal

Pengasingan sisa pepejal di punca diwajibkan bagi premis bertanah dan bertingkat di tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 sejak 1 Jun 2016.

Negeri berkenaan ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah, membabitkan 53 kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mohd Pauze berkata, sejak 1 Jun 2016 hingga 30 April lalu, sebanyak 550,230 premis diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 373 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan kepada individu atau premis yang gagal melaksanakan pengasingan sisa di punca.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum mengenakan kompaun kepada mereka yang gagal melaksanakan peraturan itu.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 220 izin kompaun diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya dan selebihnya masih pada peringkat melengkapkan siasatan bagi mendapat izin kompaun,” katanya.

Mengikut akta itu, penghuni premis yang gagal melaksanakan pengasingan boleh dikompaun. Bagi premis bertanah, tindakan akan dikenakan ke atas penghuni atau pemilik premis, manakala bagi kediaman bertingkat, tindakan akan dikenakan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Bagi kediaman bertanah, kesalahan pertama adalah RM50, kedua (RM100) dan ketiga serta seterusnya adalah RM500.

Bagi kediaman bertingkat pula, kesalahan pertama adalah RM100, kedua (RM200) dan ketiga serta seterusnya adalah RM500.

Mengulas lanjut, katanya, SWCorp masih mengadakan proses libat urus terutama membabitkan penghuni di kediaman bertingkat untuk memastikan setiap premis mengasingkan sisa pepejal.

Sasar kadar kitar semula capai 30 peratus tahun depan

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan kadar kitar semula negara akan mencapai 30 peratus menjelang tahun depan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dr Mohd Pauze Mohamad Taha, berkata kadar kitar semula negara ketika ini adalah 28.06 peratus.

“Setiap tahun kadar kitar semula menunjukkan peningkatan dan ia tanda positif bahawa rakyat mulai sedar mengenai kepentingan amalan itu untuk kemampanan dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau menjelaskan daripada pencapaian itu, jumlah kitar semula yang berjaya dikumpul bagi tahun lalu adalah sebanyak 3.8 juta tan berbanding 3.3 juta tan pada 2017.

Pengiraan kadar kitar semula adalah berdasarkan kepada peratusan jumlah barangan kitar semula yang diproses di kilang berbanding jumlah sisa pepejal yang dijana.

“Pengiraan kadar kitar semula turut mengambil kira statistik jum-lah penduduk yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan dengan menggunakan anggaran kadar janaan sisa pepejal sebanyak 1.17 kilogram (kg) per kapita sehari meliputi purata penduduk bandar dan luar bandar.

Perlu kerjasama masyarakat

“Peratusan kadar kitar semula ini juga disemak dan dimuktamadkan ketika Mesyuarat Penentuan Kadar Kitar Semula Kebangsaan yang dianggotai SWCorp, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklam (MESTECC),” katanya.

Mohd Pauze berkata, pencapaian kadar kitar semula negara berkait rapat dengan kerjasama dan komitmen masyarakat.

Beliau berkata, apa yang penting adalah usaha untuk sentiasa meningkatkan kadar kitar semula dan memastikan ia tidak berkurang.

“Jika semua rakyat Malaysia benar-benar amalkan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal di punca, ada kemungkinan kita tidak memerlukan tapak pelupusan sisa yang banyak.

“ 40 peratus daripada jumlah sisa yang dijana setiap hari boleh dikitar semula seperti kertas, buku dan plastik, manakala kira-kira 40 peratus lagi adalah sisa makanan yang boleh menjana biogas dan kompos. Jadi hanya tinggal 20 peratus untuk diuruskan di tapak pelupusan sampah,” katanya.

Katanya, tiba masanya rakyat mengubah cara hidup dengan mengamalkan kitar semula dan pengasingan sisa di punca jika tidak mahu Malaysia terus dipenuhi sampah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X