Ahad, 16 Jun 2019 | 12:46pm
Orang Asli Batek yang sembuh di pindahkan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani. - NSTP/Fathil Asri

Orang Asli di ICU semakin pulih

GUA MUSANG: Tiga Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Krai, semakin pulih.

Namun, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata seorang lagi yang dirawat di ICU Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu iaitu Nasri Rosli berusia tiga tahun masih tenat.

Katanya, tiga yang dirawat di Hospital Kuala Krai sudah sedar dan semakin positif, tetapi mereka masih ditempatkan di ICU untuk pemantauan rapi.

“Kita juga memantau rapi keadaan Nasri Rosli di HRPZ II, namun keadaannya masih sama iaitu tidak sedarkan diri dan ada ketikanya doktor memberikan ubat tidur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pemindahan pesakit Orang Asli di pusat pemindahan sementara di Kem Program Latihan Khidmat Negara Etnobotani, Dr Zaini berkata, tiada pemindahan hari ini.

Katanya, ini berikutan Rumah Inap Orang Asli (RIKA) kini hanya mempunyai 19 pesakit dan premis berkenaan mampu memuatkan 30 orang.

“Selagi RIKA tidak mencecah 30 pesakit, kita tidak akan memindahkan mereka di pusat pemindahan sementara memandangkan lokasi RIKA yang strategik, iaitu bersebelahan hospital selain memudahkan pemantauan dibuat.

“Sekiranya 48 pesakit yang kini berada di wad dibenarkan keluar hospital, barulah pemindahan ke pusat pemindahan sementara dibuat,” katanya.

Semalam, jumlah pesakit Orang Asli suku Batek yang menerima rawatan meningkat kepada 112 kes, berbanding 103 pada Khamis lalu.

Daripada jumlah berkenaan, 48 pesakit ditempatkan di wad biasa, empat pesakit di ICU iaitu tiga di Hospital Kuala Krai dan seorang di HRPZ II.

Seramai 19 lagi pesakit ditempatkan di RIKA Hospital Gua Musang, dan 41 lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Berita Harian X