Ahad, 16 Jun 2019 | 5:19pm
SAIFUDDIN Nasution pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Saifuddin nafi bocorkan data telefon pemimpin PKR

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menafikan dakwaan ibu pejabat parti itu terbabit memberikan data atau maklumat berhubung nombor telefon pemimpin di peringkat cabang.

Beliau berkata, dakwaan itu seperti disebut Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam, adalah tidak berasas, kerana bukan kerja pentadbiran PKR menyebarkan maklumat parti kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, katanya, data berhubung alamat atau nombor telefon pemimpin PKR sama ada di peringkat cabang, negeri atau Pusat bukan sesuatu yang rahsia atau sukar diperoleh jika pihak yang mahukannya menghubungi individu atau mereka terbabit.

“Sebenarnya bukan sukar memperoleh data atau nombor telefon pemimpin, malah pada pemilihan parti lalu, apabila bertanding data asas seperti itu adalah syaratnya.

“Jadi, ia bukan satu rahsia untuk tidak dimiliki mana-mana pihak. Sebagai ketua pentadbiran parti, bukan jadi kerja kakitangan saya menghebah maklumat parti kepada mana-mana pihak, tetapi itu boleh saja diperoleh jika ada pihak berkehendakkannya dengan cara menghubungi individu dan mereka terbabit,” katanya selepas perjumpaan tertutup dengan pemimpin dan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PKR negeri, Datuk Christina Liew.

Anwar bagaimanapun terus meninggalkan majlis dan menyerahkan kepada Saifuddin bercakap kepada media.

Ditanya sama ada ibu pejabat parti akan menyiasat kes video berkenaan berikutan gesaan Mohamed Azmin, Saifuddin berkata, pihaknya kekal dengan keputusan mesyuarat Biro Politik parti sebelum ini yang menyerahkan siasatan kepada polis.

“Keputusan Biro Politik sebelum ini, kita menolak politik jijik dan kita meminta Mohamed Azmin bersabar dan tabah, kita juga sebut memandangkan masing-masing pihak sudah membuat laporan polis, lebih baik pihak berkuasa teruskan siasatan supaya ada kejelasan, itu keutamaan parti sekarang,” katanya.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi pagi tadi menggesa Lembaga Disiplin PKR menyiasat dalang yang mewujudkan kumpulan WhatsApp semata-mata untuk menyebarkan beberapa rakaman video lucah terbabit.

Katanya, lembaga disiplin parti perlu membuat keputusan berani untuk parti dalam isu penyebaran video itu jika mahu memastikan PKR terus relevan dan diterima rakyat.

Beliau turut menggesa pucuk pimpinan parti lebih bertegas menyiasat kes berkenaan memandangkan Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku lelaki dalam video lucah dikaitkan dengan dirinya mendapat sokongan segelintir pemimpin dan ahli parti.

Mohamed Azmin juga mempersoalkan penyebaran maklumat nombor telefon ketua cabang dan pegawai rendah cabang berdasarkan nombor telefon dalam kumpulan WhatsApp digunakan bagi menyebarkan video terbabit.

1879 dibaca
Berita Harian X