Ahad, 16 Jun 2019 | 6:10pm

'Kenapa perlu burukkan keadaan?'

KUALA LUMPUR: Cubaan pihak tertentu mengaitkan beberapa pimpinan PKR sebagai dalang penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, adalah tuduhan berniat jahat.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata dakwaan mengaitkan dirinya dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dalang, hanya memburukkan keadaan dan keharmonian dalam kalangan ahli parti.

Menyifatkan isu itu sebagai cabaran terbesar dihadapi Pakatan Harapan (PH) sejak menerajui tampuk pemerintahan, bekas Ahli Parlimen Pandan itu menggesa ahli PKR berhenti mengulas atau menimbulkan spekulasi baharu mengenai isu berkenaan.

“Sebarang komen tidak akan membantu, bahkan mengeruhkan spekulasi. Serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat kerana ini sudah jadi kes jenayah.

“Ini peluang baik kepada kerajaan dan pihak berkuasa membuktikan dalam era Malaysia Baharu, polis bebas untuk menyiasat.

“Perkara ini sedang dibincangkan parti dan saya pasti Biro Politik politik akan buat keputusan sewajarnya kalau ada keperluan.

“Saya tidak akan campur tangan dalam satu pun mesyuarat yang mengenai perkara ini kerana tidak mahu terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pandan 2019 di sini, hari ini.

Berhubung kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan isu itu mampu menggugat PH, Rafizi berkata, ia bergantung bagaimana pimpinan dan kerajaan menguruskan perkara berkenaan.

“Jika siasatan pihak berkuasa telus, nampak bebas dan tiada campur tangan, ini akan menguatkan kepercayaan rakyat kepada PH.

“Sebaliknya, kalau terus bergelumang dengan politik tuduh-menuduh dan spekulasi manakala siasatan nampak tidak bebas, rakyat akan kata PH tiada beza dengan Barisan Nasional,” katanya.

Mengenai desakan Mohamed Azmin supaya PKR menyiasat bagaimana dalang penyebaran video memiliki maklumat lengkap mengenai nombor telefon pimpinan parti pelbagai peringkat, Rafizi yakin ia akan disiasat dan memberi penjelasan jika perlu.

Rafizi berkata, isu penyebaran video itu bukan perkara luar biasa dan sebahagian daripada suasana politik di mana-mana negara.

“Tempat lain pun kadang-kadang ada video itu dan ini, skandal itu dan ini. Yang sebaiknya ialah serahkan kepada pihak berkuasa dan mereka akan tentukan,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam sebuah video lucah yang tersebar dan menyifatkannya sebagai tuduhan jahat dan kejam.

Ia susulan pengakuan Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang kini digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin, mendakwa dirinya adalah individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X