Ahad, 16 Jun 2019 | 7:13pm

Azmin mahu 'jalan terus'

BUKIT MERTAJAM: “Saya akan sabar dan tabah kerana yakin ini politik kotor mereka yang terdesak... tewas, yang cuba mendapatkan sokongan rakyat,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata, ketika ini beliau hanya mahu menumpukan usaha menggubal dasar baharu, selain meneruskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang sudah dirancang sejak bulan lalu.

“Sekarang kita sudah mulakan perbincangan RMKe-12 sejak sebulan lalu kerana kita mahu pendekatan baharu diambil untuk pastikan penjanaan pertumbuhan ekonomi lebih mampan dan mengembalikan keyakinan pelabur asing.

“Saya sudah nampak perkembangan positif, RMKe-12 ini akan beri tumpuan kepada hasil baharu negara, dengan menggunakan teknologi baharu seperti ‘Artifical Intelligent’, ‘Speed Data’, dan sebagainya, kerana itu yang dapat menjana pertumbuhan serta sumber baharu negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya di sini, hari ini.

Rabu lalu, Mohamed Azmin menafikan pembabitan beliau dalam video lucah yang tersebar di media sosial dan menyifatkannya satu tuduhan jahat serta kejam.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dijangka memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung isu itu dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau enggan membuat sebarang spekulasi dan menuduh mana-mana pihak sebagai dalang dalam isu penyebaran video seks berkenaan.

“Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi. Video itu didedahkan kepada awam, jadi ia perlukan bukti kukuh,” katanya.

1763 dibaca
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya di Bukit Mertajam, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X