Isnin, 17 Jun 2019 | 11:04am
GAMBAR fail, seorang kanak-kanak Orang Asli Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Nasri Rosli, berusia tiga tahun yang dijangkiti radang paru-paru sejak sembilan hari lalu telah meninggal dunia di Pediatrik Intensif Care Unit (PICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu jam 6.45 petang semalam. - Foto Zaman Huri Isa

Kanak-kanak Orang Asli mangsa ke-15 meninggal

KOTA BHARU: Kanak-kanak Orang Asli suku Batek, Nasri Rosli, 3, yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini meninggal dunia jam 6 petang semalam.

Kematian terbaru itu menjadikan 15 kematian Orang Asli dari Kuala Koh, Gua Musang, dipercayai akibat jangkitan radang paru-paru setakat ini.

Nasri sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi pediatrik sejak lapan hari lalu dalam keadaan tenat dan terpaksa menggunakan alat sokongan pernafasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, berkata beliau menerima berita sedih kanak-kanak Orang Asli berusia tiga tahun dari Kampung Kuala Koh, meninggal dunia di HRPZ II, petang semalam.

“Unit Forensik hospital akan melakukan bedah siasat pada hari ini untuk mengesahkan sebab kematian.

“Jumlah keseluruhan mangsa Orang Asli dari Kuala Koh, yang meninggal dunia adalah 15 orang.

“Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menghulur dan menguruskan bantuan kepada keluarga adik Nasri. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga adik Nasri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKOA, Prof Dr Juli Edo berkata, pihaknya menerima berita itu pada jam 8.30 malam tadi yang disampaikan oleh pihak hospital.

Akhbar sebelum ini melaporkan 14 Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru.

Berita Harian X