Isnin, 17 Jun 2019 | 1:44pm

Kelantan yakin jaminan Kerajaan Pusat tunai janji bayar royalti

KOTA BHARU: Kelantan negeri yakin dengan jaminan yang diberikan Kerajaan Pusat untuk menjelaskan bayaran royalti petroleum kepada Kelantan seperti dijanjikan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata kerajaan negeri tidak diberi tarikh tertentu bagi pihak Kerajaan Pusat memulakan pembayaran, sebaik kes saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) ditarik semula selesai pada bulan lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil sikap menunggu selain akan menyerahkan kepada wakil ahli Parlimen dari PAS untuk membincang dan melakukan desakan dalam Dewan Rakyat nanti.

“Kemungkinan kita perlu tunggu memandangkan semua proses sudah disempurnakan termasuk penarikan saman yang selesai bulan lalu, kecuali jika terdapat tidak persefahaman antara menteri di kalangan Kerajaan Pusat mungkin akan berlaku, seperti Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Bagaimanapun, kita harap mereka bersatu hati untuk setuju bayar kepada Kelantan. Malah saya masih lagi yakin dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau akan tunaikan janjinya.

“Apapun, kita akan serahkan kepada ahli Parlimen untuk bincang dan desak (di Dewan Rakyat),” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan Kelantan menarik balik saman terhadap PETRONAS berhubung tuntutan royalti minyak, sekali gus menyelesaikan kes yang difailkan sejak 2010 itu.

Peguam, Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili kerajaan negeri itu, berkata pihaknya sudah menarik balik saman melalui notis untuk tidak meneruskan tuntutan berkenaan pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang arahan berhubung kes saman sama yang difailkan terhadap Kerajaan Persekutuan selaku defendan kedua.

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ditemuramah pemberita pada sesi rehat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Tahun 2019 di perkarangan Komplek Kota Darul Naim. NSTP/Zaman Huri Isa
Berita Harian X