Isnin, 17 Jun 2019 | 3:11pm
PENGARAH Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin.

Kanak-kanak Orang Asli meninggal wabak campak

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan mengesahkan kematian kanak-kanak lelaki Orang Asli suku Batek berusia tiga tahun, petang semalam, berpunca daripada wabak campak.

Kanak-kanak berkenaan, Nasri Rosli, 3, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada jam 6.45 petang kelmarin.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata serangan virus campak diikuti jangkitan bakteria sekunder menjadi punca kematian kanak-kanak itu.

Katanya, serangan sekunder bakteria yang teruk ini menyebabkan kejutan septik yang akhirnya membawa kepada kegagalan fungsi organ tubuh.

“Mayat kanak-kanak berkenaan dibedah siasat di Hospital Gua Musang petang ini (semalam) oleh Ketua Jabatan Forensik negeri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Nasri yang dirawat di HRPZ II sejak lapan hari lalu kritikal sejak hari pertama dirujuk ke hospital dan tidak sedarkan diri serta terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Kementerian Kesihatan hari ini juga mengesahkan wabak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, termasuk membabitkan kematian disebabkan demam campak.

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti Orang Asli itu disebabkan wabak berkenaan, termasuk tiga kematian disahkan setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis (tibi), melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Berita Harian X