Isnin, 17 Jun 2019 | 7:11pm
BEKAS Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Zain Ahmed

Isu 'land swap' Kementerian Pertahanan: Hishammuddin akan jumpa SPRM

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap kementerian itu, sebaik beliau kembali ke tanah air.

Katanya, beliau tiada masalah untuk membantu siasatan SPRM, namun ketika ini masih berada di luar negara dan akan kembali ke Malaysia dalam tempoh terdekat.

“Saya masih di luar negara, tiada masalah (beri keterangan kepada SPRM). Saya akan jumpa mereka (SPRM) bila saya balik dalam satu atau dua hari lagi.

“Saya sendiri akan hubungi mereka, lagipun saya juga membuat laporan kepada mereka tempoh hari, maka sudah tentu saya akan bantu mereka siasat kebenaran tanpa rasa takut atau memihak,” kata bekas Naib Presiden UMNO itu ketika dihubungi BH.

Media sebelum ini melaporkan Hishamuddin antara yang akan dipanggil selepas cuti Aidilfitri bagi memberikan keterangan terhadap siasatan kes urus niaga ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Seorang lagi individu adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pernah menjadi Menteri Pertahanan.

Februari lalu, BH melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menterinya, Mohamad Sabu, dilaporkan berkata, perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

802 dibaca
Berita Harian X