Isnin, 17 Jun 2019 | 9:04pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) mesyuarat meja bulat bersama ahli perniagaan Britain anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia mahu tarik pelaburan teknologi tinggi

LONDON: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mengalu-alukan pelaburan asing dalam sektor teknologi tinggi.

Perdana Menteri berkata, ia sejajar dengan matlamat negara mewujudkan rakyat berpendapatan tinggi.

“Ini adalah keperluan semasa kita. Rakyat Malaysia kini lebih berkemahiran dan sebahagian besarnya adalah graduan universiti.

“Kita tidak boleh mengharap mereka membuat kerja manual seperti pemasangan peralatan seperti mana diamalkan dulu.

“Kita perlukan mereka menjadi jurutera yang menggunakan peralatan baharu, jentera baharu dan memahami keperluan menjaga serta memperbaiki mesin digunakan untuk bekerja,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucapan pembukaan mesyuarat meja bulat bersama ahli perniagaan Britain anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini, hari ini.

Pertemuan dihadiri wakil daripada 50 pertubuhan termasuk syarikat perniagaan terkemuka seperti Thales, Jardine Matheson, HSBC Holdings Plc, BAE Systems, Shell, Standard Chartered, dan Prudential.

Hadir sama, wakil beberapa universiti terkemuka di Britain.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.

Wakil perdagangan Perdana Menteri Britain ke Indonesia, Malaysia dan Filipina, Richard Graham turut hadir.

Mesyuarat berkenaan adalah antara pengisian lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri ke United Kingdom (UK) bermula Sabtu lalu.

Dr Mahathir berkata, Malaysia mula menerima pelaburan langsung asing (FDI) dan memperoleh banyak teknologi asing.

“Pastinya pada masa kini kita giat melaksanakan teknologi maklumat dan mahu memanfaatkan perniagaan serta kaedah baharu dalam usaha memajukan negara dengan lebih pesat sebaik mungkin.

“Ya, kita adalah negara kecil dan berkembang pada kadar 11 atau 12 peratus, namun kini dengan ekonomi lebih besar, pertumbuhan pada kadar sama akan ditunjukkan oleh peratusan lebih kecil.

“Justeru, kita masih berkembang pada kadar lebih empat peratus dan berharap dapat mencapai prestasi lebih baik tahun ini pada 4.4 peratus atau 4.6 peratus,” katanya.

Dr Mahathir berkata, dasar Malaysia tidak jauh daripada dasar sebelum ini dan masih memerlukan pelaburan bagi meningkatkan pertumbuhannya.

Walaupun ada pelaburan domestik, beliau berkata, nilainya masih terlalu kecil bagi membawa masuk teknologi yang bertujuan meningkatkan pendapatan rakyat.

Perdana Menteri berkata, Malaysia selesa menjalinkan kerjasama dengan pelabur United Kingdom (UK) memandangkan bahasa Inggeris turut digunakan di Malaysia, sekali gus membantu memudahkan perniagaan.

“Saya berpendapat pelabur UK akan mendapati Malaysia sebagai destinasi baik untuk pelaburan dan saya berharap anda dapat memberitahu apa yang perlu dilaksanakan dalam usaha menjadikan Malaysia lebih menarik,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia menjadi negara mesra perniagaan dan sedia memperhalusi dasarnya untuk memenuhi keperluan pelabur kerana perniagaan mewujudkan pekerjaan dan kekayaan kepada negara. - BERNAMA

Berita Harian X