Selasa, 18 Jun 2019 | 12:57pm
AZMIN ditemui pihak media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Konsortium PCSB-MGB dan Must Ehsan Development Sdn Bhd untuk membangunkan Rumah Idaman Rakyat Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor. NSTP/Roslin Mat Tahir

Azmin yakin penyebaran video seks perbuatan orang dalam

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks dikaitkan dengannya, dilakukan ‘orang dalam’.

Beliau yang mengakui perkara itu selepas ditanya jika beliau yakin ia perbuatan ‘orang dalam’ susulan ‘kehilangan’ seorang pemimpin PKR sebuah negeri, berkata ketika ini masyarakat umum juga sudah dapat menilai sendiri siapa dalang di sebalik perbuatan penyebaran video berkenaan, kira-kira seminggu selepas umat Islam menyambut Aidilfitri.

Katanya, sejak awal lagi, beliau yakin perbuatan itu agenda politik pihak tertentu.

“Dari awal saya yakin ini ada agenda politik orang tertentu bertujuan menyekat kemaraan prestasi saya dalam kerajaan pada hari ini dan dalam politik, saya yakin umum sudah lihat siapa dalam episod ini.

“Biarlah polis menjalankan siasatan dan saya kira tidak adil jika kita atau mana-mana individu membuat kenyataan yang boleh dilihat sebagai mengganggu siasatan.

“Saya kira biarlah rakyat membuat hukuman atas perkara ini dan sekarang pun sudah terbukti semakin kuat membayangkan pihak terbabit dalam konspitasi dan tohmahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Hak Pembangunan antara Konsortium PNSB Construction Sdn Bhd dan MGB Berhad dengan Must Ehsan Development Sdn Bhd (usaha sama anak syarikat milik penuh Encorp Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor), di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan kehilangan seorang pengerusi PKR sebuah negeri menambah misteri kepada penyebaran klip video seks dikaitkan dengan Mohamed Azmin terutama selepas individu itu gagal menghadiri majlis sambutan Aidilfitri PKR baru-baru ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata beliau sudah mengambil beberapa tindakan termasuk membuat laporan qazaf, laporan polis dan beberapa tindakan lain berdasarkan nasihat peguam serta pandangan beberapa pihak.

Beliau yang mengulas kenyataan sebuah media Australia mengesahkan klip video yang tersebar tidak diubah secara digital, berkata, apa pun kenyataan dikeluarkan mana-mana pihak dan individu ketika ini adalah tidak adil kerana siasatan sedang dijalankan, berdasarkan laporan polis dibuat.

Justeru, katanya, jika ada pihak tidak bertanggungjawab membuat kenyataan membabitkan klip video itu, ia boleh dilihat sebagai mengganggu siasatan.

Ditanya desakan untuk beliau membuat sumpah laknat, Mohamed Azmin berkata, beliau sudah membuat laporan qazaf dan mahu prosesnya berjalan.

“Saya ambil tindakan berdasarkan nasihat peguam dan pihak yang memberikan pandangan mereka. Ini perlu dilakukan dan kita harus membenarkan siasatan berjalan serta tidak diganggu dengan kenyataan serta tekanan terhadap pihak bertanggungjawab,” katanya.

Berita Harian X