Selasa, 18 Jun 2019 | 5:50pm
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto NSTP

'Tidak wajar Azmin buat tuduhan baharu' - Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, enggan melayan tuduhan baharu berhubung klip video yang mengaitkan ahli parti itu, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan seorang menteri.

Menyifatkan tidak wajar Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menambah satu lagi tuduhan, beliau berkata, dakwaan Timbalan Presiden PKR itu bahawa penularan video terbabit mungkin didalangi ahli parti, tidak boleh membaiki tuduhan yang lain.

Terdahulu, Mohamed Azmin ketika ditemui media di Shah Alam, dilaporkan berkata, beliau yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks, dilakukan ‘orang dalam’.

Saifuddin berkata, dakwaan mengenai pembabitan ‘orang dalam’ di sebalik penularan video berkenaan adalah ‘tuduhan yang biasa’ dan berharap polis diberi ruang menjalankan siasatan.

“Beri ruang, bermaksud beri kerjasama polis menjalankan siasatan tanpa gangguan, bukannya dalam bentuk buat atau melayan tuduhan baharu.

“Sebaiknya-baiknya kita fokus dengan isu ini dengan tidak kemudiannya menyebut satu lagi tuduhan di atas satu tuduhan yang sedang dihadapi.

“Satu tuduhan tidak boleh dibaiki dengan satu lagi tuduhan. Ia seolah-olah tiada kebijaksanaan di situ,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pembangunan Industri Kewangan Malaysia (MIDF) di sini, hari ini.

Beliau berkata, PKR fokus terhadap isu berkenaan dan mendoakan Azmin bersabar menghadapi ujian sukar terbabit.

“Mengenali Azmin, beliau seorang yang kuat dan tabah, berpuluh tahun saya berjuang bersamanya. Saya doakan beliau sabar menghadapi ujian sukar ini,” katanya sambil menambah, PKR menolak politik jijik sedemikian.

Saifuddin berkata, perkembangan mengenai isu penularan video itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR esok.

Berita Harian X