Selasa, 18 Jun 2019 | 5:54pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Wabak campak Kuala Koh merebak ke Hulu Terengganu, Jerantut

PETALING JAYA: Wabak demam campak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, dipercayai merebak ke komuniti Orang Asli di Hulu Terengganu, Terengganu dan Jerantut, Pahang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 20 laporan kes disyaki demam campak di perkampungan Orang Asli di dua negeri itu, iaitu 12 kes di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu dan lapan kes di Kampung Ulu Sat, Jerantut.

Daripada jumlah itu, katanya, 11 kes disahkan wabak demam campak, iaitu tujuh kes di Kampung Gerdong, dan empat kes di Kampung Ulu Sat, yang dipercayai berkait dengan kes di Gua Musang.

“Siasatan awal mendapati terdapat sejarah kontak atau pergerakan mereka yang disyaki dijangkiti wabak demam campak di Kampung Gerdong, dengan komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

“Penduduk Orang Asli di Kampung Ulu Sat pula memiliki sejarah pergerakan keluar masuk ke Kampung Gerdong.

“Buat masa ini kejadian wabak ini adalah terkawal. Orang ramai diminta tidak khuatir dan KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kejadian ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengalaman Kesihatan Mental 2019 di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kementerian akan melaksanakan kuarantin di Kampung Gerdong dan Kampung Ulu Sat, Dr Dzulkefly berkata, pihak berkuasa akan menguatkuasakan larangan pergerakan keluar masuk ke kawasan terbabit.

Berhubung perkembangan terkini kes di Kuala Koh, Dr Dzulkefly berkata, 13 mayat yang ditemui sudah selesai menjalani bedah siasat, manakala pasukan pakar forensik sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mereka.

“Sampel yang diperoleh daripada bedah siasat itu dihantar ke makmal untuk ujian lanjut, dan keputusan ujian berkenaan akan diperoleh dalam tempoh beberapa hari,” katanya.

Setakat semalam, seramai 10 Orang Asli di masukkan ke wad di Hospital Hulu Terengganu selepas menunjukkan simptom jangkitan saluran pernafasan, cirit-birit dan muntah, membabitkan sembilan dari Kuala Koh serta seorang dari Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu.

Semalam, KKM mengesahkan wabak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, termasuk membabitkan kematian, adalah disebabkan demam campak.

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti Orang Asli itu disebabkan wabak berkenaan, termasuk tiga kematian disahkan setakat ini.

Keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis (tibi), melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X