Selasa, 18 Jun 2019 | 11:59pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Azhar Ramli

Tunggu siasatan polis - Anwar

KUALA LUMPUR: PKR tidak setuju dengan gesaan supaya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali meletak jawatannya sebagai orang nombor dua parti.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya mahu pimpinan dan ahli parti menggunakan saluran yang betul dan menyerahkan tugas siasatan kepada polis.

Anwar mengulas kenyataan dikeluarkan Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak seperti dipetik sebuah portal berita petang tadi, yang menggesa Azmin meletakkan jawatannya jika terbukti bersalah berhubung kes video mirip seorang menteri.

“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Farhash Wafa berkenaan isu video serta kedudukan Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Sekali lagi saya menggesa pimpinan dan ahli parti supaya menggunakan saluran yang betul dan menyerahkan tugas siasatan isu ini kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Petang tadi, Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak menafikan beliau inividu di sebalik penyebaran video hubungan songsang seorang lelaki dengan individu mirip seorang menteri.

Beliau juga menafikan tuduhan seorang penulis blog kononnya beliau bertemu Haziq Abdullah Abdul Aziz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini.

2894 dibaca
Berita Harian X