Rabu, 19 Jun 2019 | 4:17pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga kiri) bersama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz (dua kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah SIRIM, Datuk Syed Hisham Syed Wazir (empat kiri) memeriksa ketelusan cahaya pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan 2019 di KPDNHEP, Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga kiri) bersama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz (dua kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah SIRIM, Datuk Syed Hisham Syed Wazir (empat kiri) memeriksa ketelusan cahaya pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan 2019 di KPDNHEP, Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pengeluar simen setuju harga dikekalkan

PUTRAJAYA: Penggiat industri pengilangan simen di negara ini bersetuju untuk mengekalkan harga barang kawalan itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan berkenaan dimuktamadkan selepas kementeriannya mengadakan pertemuan dengan penggiat industri simen, semalam.

Beliau berkata, menerusi pertemuan itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama-sama penggiat industri simen mengadakan rundingan ke arah mencari penyelesaian terbaik terhadap perkara berkenaan.

“Pihak Kementerian juga menjelaskan kepada semua penggiat industri simen bahawa mereka perlu memaklumkan dan mohon kepada KPDNHEP terlebih dulu jika mahu menaikkan harga simen kerana ia termasuk dalam barangan kawalan.

“KPDNHEP sebagai pihak yang mengeluarkan lesen mengilang dan memborong di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 menyatakan ada beberapa prasyarat yang perlu dipatuhi oleh mereka jika mahu menaikkan harga.

“Antaranya, ia mesti dimaklumkan kepada KPNDHEP untuk tujuan kelulusan bagaimanapun mereka tidak melakukannya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, kerajaan boleh mengambil tindakan kerana penggiat industri simen ini tidak maklumkan kepada KPDNHEP tetapi terus mengeluarkan pekeliling kepada pengeluar untuk menaikkan harga.

“Bagaimanapun, kita (kerajaan) pilih cara untuk mengadakan perbincangan dan memberi penerangan dengan mereka.

“Pada akhir perbincangan, mereka bersetuju untuk tidak menaikkan harga simen. Pada masa depan kalau ada ura-ura mahu menaikkan harga, mereka perlu maklumkan dan mohon kepada KPDNHEP kerana ia (simen) adalah barangan kawalan,” katanya.

Isu kenaikan harga simen sebelum ini turut mendapat perhatian Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan mahu syarikat pengeluar simen memberi alasan susulan tindakan mereka menaikkan harga barangan itu antara 40 hingga 50 peratus.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, antara alasan yang diberikan penggiat industri untuk menaikkan harga simen ialah peningkatan kos kerana ada barangan dalam pembuatan simen perlu diimport seperti seperti clinker (batu hangus) dan serta kenaikan tarif elektrik.

Katanya, menerusi pertemuan itu juga, KPDNHEP menerangkan bahawa kerajaan menyasarkan untuk membina satu juta rumah mampu milik.

“Sekiranya bahan utama membuat rumah naik, ia sudah pasti memberi kesan kepada pembinaan rumah mampu milik.

“Jadi, mereka (penggiat industri simen) juga perlu mendengar daripada pihak kita,” katanya.

Berita Harian X