Rabu, 19 Jun 2019 | 8:48pm
BEKAS Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Muhammad Haziq Abdullah Abdul Aziz (kiri). NSTP/Hafiz Sohaimi

14 hari untuk Haziq Abdullah jawab surat tunjuk sebab parti

PETALING JAYA: PKR setakat ini tidak memecat atau menggantung keahlian Haziq Abdullah Abdul Aziz, sebaliknya meminta beliau menjawab surat tunjuk sebab kerana membuat pengakuan terbuka sebagai individu dalam video lucah dikaitkan dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong itu yang digantung tugas serta-merta daripada jawatan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, minggu lalu, diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR, esok.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim, berkata rumusan itu diputuskan pihaknya dalam mesyuarat Ahad lalu, dan dibentangkan kepada Biro Politik parti hari ini.

“Lembaga Disiplin bersidang Ahad lalu dan membuat keputusan untuk memberikan surat tunjuk sebab kerana Haziq Abdullah sudah mencemarkan dan berniat merosakkan nama parti,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Sidang media itu dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden, Dr Xavier Jayakumar dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ahmad berkata, Lembaga Disiplin menerima penafian Mohamed Azmin, susulan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dan menyerahkan siasatan selanjutnya kepada pihak berkuasa.

Namun katanya, pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan selain menanti keputusan siasatan polis dan pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat keputusan selanjutnya.

“Lembaga Disiplin dengan ini turut memberi amaran kepada semua pemimpin supaya tidak membuat sebarang kenyataan kepada pemimpin lain tanpa asas demi memelihara keutuhan parti,” katanya.

Sementara itu, Anwar menegaskan isu penyebaran video lucah terbabit yang menimbulkan pertikaian dalam kalangan pemimpin parti itu tidak sampai mewujudkan perpecahan.

“Timbul dakwaan sebelum ini kononnya wujud perpecahan dalam parti berkaitan kes itu. Sebaliknya, Biro Politik akur dengan keputusan Lembaga Disiplin itu secara konsensus,” katanya.

Sebelum ini, tindakan Haziq Abdullah membuat pengakuan terbuka menerima reaksi berbeza, termasuk ada yang menuntut supaya pemimpin itu dipecat daripada parti.

Antara yang mendesak parti memecat Haziq Abdullah adalah Naib Presiden, Zuraida Kamarudin.

Mohamed Azmin sendiri turut mendesak Lembaga Disiplin memecat mereka yang menjadi dalang menyebar video lucah dikaitkan dengan dirinya.

Berita Harian X