Khamis, 20 Jun 2019 | 5:21pm
Bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin keluar dari kamar saksi apabila mahkamah apabila berhenti rehat perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

Saya terima panggilan, diarah meninggalkan negara- Suboh

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin, mendakwa beliau diarahkan melarikan diri bagi mengelak disiasat oleh pihak berkuasa berhubung skandal SRC.

Suboh, 68, ketika memberi keterangan pada prosiding perbicaraan kes SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak, mendedahkan ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau menerima panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali.

Saksi ke-42 pendakwaan itu, berkata individu itu memperkenalkan diri sebagai wakil SPRM dan menyatakan kepadanya supaya tidak pergi ke pejabat SPRM seperti mana dijanjikan dan mengarahkannya meninggalkan Malaysia.

Katanya, kejadian itu berlaku dalam tahun 2015.

“Saya rasa takut dengan keadaan yang sedang berlaku dan Najib pula masih berkuasa sebagai Perdana Menteri pada masa itu.

“Saya tidak tahu apa yang mungkin boleh berlaku kepada saya dan keluarga. Sehubungan itu, saya membuat keputusan melarikan diri ke Bangkok, Thailand bersama isteri selama lebih kurang sebulan,” katanya.

Ketika membaca pernyataan saksinya, Suboh berkata segala kos beliau di Bangkok ditanggung sendiri olehnya.

Katanya, ketika di Bangkok saya bertemu dengan seorang lelaki Thailand yang menyerahkan tiket penerbangan untuk saya dan isteri ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

“Saya dan isteri menaiki penerbangan ke Abu Dhabi daripada Bangkok. Di sana, saya dibawa ke Hotel Rosewood dan tinggal selama lebih kurang seminggu.

“Segala kos tiket penerbangan dan penginapan diatur namun saya tidak mengetahui siapa yang menanggung kos berkenaan,” katanya pada prosiding perbicaraan kes yang masuk hari ke-29.

Suboh berkata beliau kemudian menaiki penerbangan ke Bangkok dan seterusnya pulang ke Malaysia.

“Selepas kembali, saya dihubungi oleh Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutiif SRC) yang mengarahkan saya untuk melarikan diri sekali lagi daripada Malaysia.

“Saya membuat keputusan untuk tidak melarikan lagi dan kekal di Malaysia bagi membantu siasatan pihak berkuasa,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Suboh turut memberitahu mahkamah, kebanyakan tindakan berkaitan SRC dilakukan oleh Nik Faisal selaku CEO, di mana beliau akan membentangkan sebarang kertas kerja kepada Lembaga Pengarah untuk diputuskan dan akan mengambil tindakan susulan bagi setiap projek yang ingin dilaksanakan.

Katanya, bagi SRC sebarang keputusan Lembaga Pengarah perlu mendapat nasihat daripada Penasihat Emiritus SRC iaitu Najib.

“Jika terdapat sebarang perkara yang perlu dibawa ke perhatian Najib, tindakan itu akan dilakukan oleh Nik Faisal saja kerana beliau bertindak sebagai penghubung antara Lembaga Pengarah SRC dan Najib.

“Saya berpendapat sedemikian kerana kerap kali berlaku keadaan di mana sekiranya terdapat surat atau dokumen yang ditujukan secara khusus kepada Najib, Nik Faisal akan menyatakan bahawa surat itu dibawa olehnya untuk berjumpa Najib,” katanya.

Suboh berkata berkenaan proses urusan kerja harian SRC, beliau juga pernah menimbulkan persoalan berkenaan isu ketelitian wajar dan pertimbangan untuk projek pelaburan kerana terdapat isu pematuhan yang perlu dipatuhi.

“Nik Faisal akan selalu membalas dengan menyatakan perkara itu sudah dibincang dan dipersetujui oleh ‘pihak atas’.”

“Pada pendapat saya, ‘pihak atas’ yang dikatakan Nik Faisal merujuk kepada Najib,” katanya.

Suboh berkata sebagai contoh pada Mesyuarat Lembaga Pengarah SRC yang diadakan pada 13 September 2011, beliau memberi peringatan dan amaran kepada mesyuarat bahawa landskap perniagaan di Indonesia adalah berbeza daripada Malaysia dan SRC perlu berhati-hati dalam membuat pelaburan di sana.

Berita Harian X