Khamis, 20 Jun 2019 | 9:03pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media mengenai situasi terkini kluster jangkitan saluran pernafasan di kalangan Orang Asli Suku Bateq Kuala Koh di Kementerian kesihatan Putrajaya. NSTP/Luqman Hakim Zubir

Keputusan bedah siasat Orang Asli dua hari lagi

PUTRAJAYA: Keputusan analisa makmal bagi mengenal pasti punca kematian 12 mayat Orang Asli suku Batek Kampung Kuala Koh akan diketahui dalam masa dua hingga tiga hari lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bedah siasat terhadap mayat berkenaan selesai dijalankan dan sampel sudah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.

“Ujian sedang dijalankan bagi mengetahui punca kematian. Enam kes lagi sudah disahkan positif measles (demam campak) melalui ujian makmal dan menjadikan jumlah 43 kes disahkan di makmal,” katanya di sini, hari ini.

Beliau sebelum ini memaklumkan 37 daripada 112 pesakit Orang Asli Suku Batek di Kampung Kuala Koh, disahkan menghidap wabak demam campak menerusi ujian makmal terhadap 170 penduduk.

Pada masa sama, Dzulkefly memaklumkan, mesyuarat Kabinet hari ini turut dimaklumkan situasi terkini jangkitan pernafasan yang berlaku dalam kalangan Orang Asli yang terbabit.

Katanya, jemaah menteri juga dimaklumkan berhubung langkah diambil Kementerian Kesihatan termasuk program imunisasi dan diagnosis wabak campak di kawalan terbabit.

Dalam pada itu beliau berkata, wabak itu masih dalam keadaan terkawal dengan langkah sewajarnya sedang dibuat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Selalunya wabak ini ada musimnya dan kita tidak tahu apa punca utama wabak ini, mungkin menerusi sentuhan orang yang keluar dan masuk ke kawasan terbabit.

“Namun kita bagi tempoh dua minggu untuk melihat sama ada wabak akan kembali reda,” katanya.

Berita Harian X