Jumaat, 21 Jun 2019 | 6:44pm
KETUA Pengarah JAKOA, Prof Dr Juli Edo. - Foto Hafiz Sohaimi
KETUA Pengarah JAKOA, Prof Dr Juli Edo. - Foto Hafiz Sohaimi

Perjelaskan punca wabak kepada Orang Asli - KP JAKOA

KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mahu pihak berkaitan yang terbabit dengan kajian serta pengambilan sampel di perkampungan Kuala Koh susulan kematian 15 Orang Asli suku Batek, supaya memberi penjelasan lanjut bagi memuaskan hati penduduk.

Ketua Pengarah JAKOA, Prof Dr Juli Edo, turut mengakui hingga kini penduduk Orang Asli di Kuala Koh masih tidak berpuas hati dengan hasil laporan mengatakan sungai yang digunakan penduduk di kawasan itu tidak tercemar.

Katanya, ia berikutan sampel diambil sebulan selepas kejadian dilaporkan berlaku menyebabkan kebanyakan mereka tidak berpuas hati.

“Justeru, pihak yang berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia supaya turun padang memberi penjelasan kepada penduduk supaya isu berkenaan tidak lagi dibangkitkan.

“Namun, soal ketidakpuasan ini perkara biasa dan perlu difahami semua pihak memandangkan ia membabitkan kematian ramai dan semestinya emosi mereka terjejas teruk,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, penduduk Orang Asli suku Batek, di Kampung Kuala Koh masih meragui keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan jangkitan kuman kaum itu bukan berpunca daripada air sungai kotor.

Sebaliknya, mereka masih yakin penyakit berjangkit itu berpunca daripada penggunaan air tadahan bukit dan air sungai yang dipercayai mengandungi bahan kimia.

Penghulu kampung itu, Mohamad Pokok, berkata ini kerana lombong bijih mangan terbabit berada hanya 100 meter daripada sungai dan tadahan air bukit.

Berikutan itu katanya, mereka sudah memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di Putrajaya.

Mengulas lanjut, JAKOA juga turun padang bagi memberi semangat dalam usaha memulihkan emosi penduduk di perkampungan Kuala Koh.

Berita Harian X