Sabtu, 22 Jun 2019 | 11:47am
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Ratifikasi C87: Hasrat MTUC minta bantuan PBB dikesali

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia kesal dengan kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa ia akan meminta bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya Malaysia meratifikasi Kebebasan Persatuan dan Perlindungan Hak untuk Berorganisasi, 1948 (C87).

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, pihaknya sentiasa menekankan bahawa undang-undang berkenaan perlu dipinda terlebih dahulu bagi memastikan peruntukan selaras prinsip konvensyen, sebelum tindakan ke arah meratifikasi boleh diambil.

“Sehubungan itu, kementerian sudah mencadangkan pindaan membabitkan Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 berdasarkan prinsip C87.

“MTUC mungkin sudah lupa pendiriannya menolak prinsip C87 mengenai kebebasan menubuhkan kesatuan sekerja yang boleh mendorong wujud terlalu banyak kesatuan di sebuah tempat kerja.

“Ini kerana meratifikasi mana-mana konvensyen bermakna kita perlu patuh kepada semua perkara ditetapkan dalam konvensyen berkenaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, MTUC sepatutnya tidak boleh bersikap selektif dengan meminta kerajaan meratifikasi C87 sedangkan mereka sendiri membantah prinsip asas utama kepada C87.

“Kementerian Sumber Manusia juga mengadakan kerjasama luas dengan pihak yang berkepentingan berhubung pembaharuan undang-undang buruh.

“Malah, kementerian mendapat bantuan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di sini menerusi pakar berkaitan C87 yang diterbangkan dari Geneva bagi menerangkan dan membantu kita dalam menerima prinsip C87,” katanya.

Menurut kenyataan itu, walaupun pindaan dicadangkan itu masih memerlukan kelulusan kerajaan, MTUC mahu mendapatkan penangguhan 10 tahun sebelum pindaan dikuatkuasakan.

Justeru, katanya, kementerian terpaksa mengetepikan draf pindaan dan meneruskan dengan membuat beberapa pindaan yang perlu untuk kedua-dua akta terbabit tanpa mengikut prinsip C87.

Media sebelum ini melaporkan MTUC menggesa ILO melipatgandakan usaha mendesak Putrajaya meratifikasi piagam yang memberikan pekerja Malaysia hak untuk menyertai kesatuan sekerja.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, dipetik sebagai berkata pihaknya mahu C87 diguna pakai di Malaysia untuk kesemua 14 juta pekerja tempatan dan buruh asing.

Solomon berkata, kesungguhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meminda undang-undang buruh yang lapuk harus mengutamakan ratifikasi C87.

Katanya, C87 merangkumi sejumlah peruntukan yang mewajibkan kerajaan mengiktiraf hak pekerja dan majikan untuk menyertai mana-mana pertubuhan difikirkan sesuai tanpa keperluan mendapatkan kelulusan.

“Pengesahan C87 juga akan bermakna pihak kerajaan tidak boleh campur tangan dalam perjalanan pertubuhan berkenaan selagi ia mematuhi undang-undang,” kata Solomon ketika berucap pada persidangan ILO di Geneva, Khamis lalu.

Berita Harian X