Ahad, 23 Jun 2019 | 5:22pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun merasmikan Majlis Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku di Kelantan Trade Centre (KTC) di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun merasmikan Majlis Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku di Kelantan Trade Centre (KTC) di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

Ramai usahawan wanita tidak berdaftar dengan SSM

KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar mendapati ramai usahawan wanita tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kerana mahu mengelak bayaran cukai selain mahukan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata berdasarkan statistik kementeriannya, ada 83,968 usahawan yang berdaftar dan daripada jumlah itu, hanya 27 peratus iaitu lebih 22,000 adalah usahawan wanita.

Katanya, angka berkenaan ternyata tidak menggambarkan jumlah sebenar usahawan wanita kerana beliau yakin golongan berkenaan jauh lebih ramai berbanding 27 peratus itu.

“Kita mendapati kebanyakan mereka takut untuk mendaftar dengan SSM kerana bimbang dikenakan cukai selain tidak akan mendapat Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Jadi, pemikiran sebegini perlu diubah oleh usahawan wanita kerana sekiranya mahu mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi, proses mendaftar di SSM adalah syarat asas.

“Usahawan wanita jangan takut untuk berdaftar dengan SSM dan minda seperti itu perlu diubah kerana kita mahu setiap usahawan mampu memperoleh pendapatan jauh lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata jika seseorang usahawan itu tidak mendaftar dengan SSM hanya kerana mahukan bantuan BSH, mereka seolah-olah menetapkan dalam minda bahawa perniagaan yang diusahakan kurang berjaya.

“Sepatutnya BSH sebanyak RM1,200 setahun itu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan. Justeru, kita menyarankan semua usahawan wanita supaya berdaftar dengan SSM,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X