Isnin, 24 Jun 2019 | 9:26pm

Tiada data lengkap petani punca subsidi baja diseleweng

KUALA LUMPUR: Ketiadaan data lengkap jumlah petani aktif dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit setiap tahun akibat ketirisan dan penyelewengan dalam agihan subsidi baja.

Walaupun kerajaan secara tetap menyalurkan subsidi dan insentif berjumlah RM1.9 bilion khususnya baja setiap tahun, namun pengeluaran perkapita padi negara menyaksikan penurunan iaitu 2,741 tan pada 2015; 2,740 tan pada 2016 dan terus merosot kepada 2,571 pada 2017.

Mengikut rekod, terdapat 155,000 pesawah di seluruh negara namun difahamkan jumlah mereka yang aktif dengan keluasan kawasan yang diusahakan tidak dikemaskini sejak 20 tahun lalu.

Ini antara faktor menyebabkan ada pihak tertentu menggunakan kesempatan akibat kelemahan pengumpulan data berkenaan dengan menyeleweng baja subsidi.

Sumber mendedahkan, setiap individu yang terbabit dalam proses agihan subsidi baja mempunyai potensi untuk menyeleweng, termasuk pegawai kerajaan, individu yang dilantik menguruskan pemberian subsidi, orang politik serta petani itu sendiri.

Jual kepada petani lain

“Antara modus operandinya, petani akan mendakwa kononnya mengusahakan keluasan sawah yang maksimum kepada Persatuan Peladang Kawasan (PPK) untuk memperoleh subsidi penuh namun sebahagian besar akan dijual kepada petani lain.

“Taktik lain pula membabitkan ‘orang dalam’ agensi berkaitan yang menyorok baja subsidi tanpa diagihkan kepada penerima sepatutnya. Baja subsidi ini akhirnya akan dijual kepada pembeli yang bersekongkol dengan mereka,” katanya kepada BH.

Sementara itu, seorang pegawai kanan dalam industri padi mendedahkan, isu ketirisan berlaku sejak pemerintahan kerajaan terdahulu namun tidak berjaya diselesaikan ekoran campur tangan ‘orang dalam’ dan pengaruh politik.

Antara baja padi yang dipercayai diseleweng berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Parit Buntar, tahun lalu. - NSTP/L Manimaran
Antara baja padi yang dipercayai diseleweng berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Parit Buntar, tahun lalu. - NSTP/L Manimaran

Petani takut buat laporan

“Isu pemberian baja menimbulkan polemik dalam kalangan petani itu sendiri kerana sering dikaitkan dengan politik. Biasanya pihak yang dilantik menguruskan baja ini adalah ‘orang kuat’ parti tertentu dan sudah tentu ia digunakan sebagai gula-gula politik.

“Kalangan petani sendiri mengetahui penyelewengan berlaku tetapi tidak berani tampil membuat aduan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, BH mendapat makluman, ketiadaan data ini juga berlaku disebabkan sikap petani itu yang mahu mendapat ‘untung atas angin’ walaupun tidak lagi mengusahakan tanah sawah.

Senarai nama masih aktif

“Mereka tahu jika menjual sekampit baja subsidi itu, mereka mampu memperoleh untung sekitar RM5 sahaja dan memperoleh keuntungan itu kerana tiada pihak yang boleh mengambil tindakan terhadap mereka.

“Mereka tidak lagi mengusahakan sawah sama ada tanah itu sudah dijual atau dibina bangunan atau tidak sesuai untuk ditanam padi lagi tetapi rekod yang masih ‘aktif’ menyebabkan mereka mendapat bantuan baja,” katanya.

Tanpa pembajaan yang betul, pengeluaran padi akan terjejas akibat kekurangan nutrien. - NSTP/Supian Ahmad
Tanpa pembajaan yang betul, pengeluaran padi akan terjejas akibat kekurangan nutrien. - NSTP/Supian Ahmad

Punca petani terus mundur, gagal perbaiki taraf hidup

Penyelewengan subsidi baja yang menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit setiap tahun, dikesan antara punca petani negara ini gagal memperbaiki taraf hidup.

Walaupun berdekad-dekad mengusahakan sawah, petani kekal dalam situasi sama, seolah-olah mereka dipinggirkan kerajaan sedangkan pelbagai jenis subsidi khususnya membabitkan baja diberikan kepada mereka.

Felo Penyelidik Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad, berkata ketirisan itu dilakukan mereka yang mempunyai peranan penting dalam proses pengagihan baja dan kesannya diterima oleh petani.

Isu sudah lama berlarutan

“Isu ketirisan dan penyelewengan ini sudah berlarutan sekian lama kerana kesannya kita boleh lihat keadaan petani itu sendiri yang tidak berubah. Mereka gagal untuk maju dan masih berharap dengan kerajaan.

“Apabila ini berlaku, ke mana peruntukan yang sepatutnya membantu golongan petani dan ini saya percaya, ia diseleweng oleh mereka yang mempunyai peranan dalam struktur ini seperti ahli lembaga pengarah yang dilantik dalam agensi berkaitan,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Dr Fatimah berkata, pelbagai pihak sudah melakukan kajian terhadap isu subsidi baja tetapi masih tidak mampu untuk mengubah nasib petani.

Baja sampai lambat

“Ada kajian menunjukkan 30 hingga 40 peratus baja yang sepatutnya diterima petani sampai lambat sehingga memberi kesan besar kepada pengeluaran padi.

“Malah ada juga kajian menunjukkan satu pertiga baja yang dikeluarkan tidak bermutu. Malah, ada petani mengadu komposisi baja sebatian tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Bagaimana ini boleh berlaku jika ia bukan berpunca akibat penyelewengan,” katanya.

Ditanya transformasi yang perlu dilaksanakan untuk menghentikan ketirisan dan penyelewengan itu, Dr Fatimah berkata, sampai masanya petani diberi peluang untuk membuat keputusan.

Beliau menyarankan agensi seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) perlu kembali kepada peranan asal memajukan kepentingan petani dan bukannya menjadi tempat mengkayakan pihak tertentu, ahli lembaga pengarah atau anak syarikat.

Kerajaan tanggung rugi RM1.9b, pengeluaran padi terus menyusut. - Foto hiasan
Kerajaan tanggung rugi RM1.9b, pengeluaran padi terus menyusut. - Foto hiasan

Tingkat fungsi NAFAS

“NAFAS perlu berfungsi sepenuhnya untuk petani dan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seperti Fonterra di New Zealand yang berkhidmat untuk ahli koperasi mereka dan bukannya ahli lembaga pengarah. Mana-mana subsidiari yang tidak memberi kepentingan dan keuntungan harus ditutup,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga harus sedar petani tidak akan sesekali kaya dengan pemberian dividen, sebaliknya bantuan baja yang berkualiti dengan komposisi yang betul, varieti baharu, air yang tepat, mesin tuai yang cekap dan kecil untuk pemutuan, nasihat yang tepat adalah diperlukan.

“Ahli lembaga pengarah juga perlulah daripada kalangan petani dan bukannya ahli politik,” katanya.

INFO

• Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) diperkenalkan pada 1979 dengan nama Skim Subsidi Baja Padi (SSBP)

• Bagi satu hektar kawasan penanam petani disaran menggunakan empat beg baja urea serta 12 beg baja sebatian. Setiap beg mempunyai berat 20 kilogram.

• Purata bagi harga setiap beg urea berharga sekitar RM23 manakala beg sebatian RM26, menjadikan kos per hektar penggunaan baja bagi petani adalah kira-kira RM400 bagi satu musim penanaman.

• Skim Baja Padi Kerajaan berjumlah RM465 juta, Skim Bantuan Input Pengeluaran (RM563 juta), Insentif Benih Padi Sah (RM85 juta), Skim Subsidi Harga Padi (RM616 juta), Skim Baja dan Racun Padi untuk Pertanian Padi Bukit (RM70 juta) dan Insentif Input Pengeluaran Padi RM112 juta.

Berita Harian X