Selasa, 25 Jun 2019 | 4:02pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Hab pemborong pertama akan dibuka di Kelantan

PUTRAJAYA : Kerajaan akan mewujudkan satu hab pemborong yang akan memberi peluang kepada usahawan untuk mempamerkan produk masing-masing.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata buat permulaan hab pemborong itu akan dibuka di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata, melalui hab berkenaan ia akan memberi manfaat kepada lebih 4,000 usahawan untuk mempamerkan pelbagai produk termasuklah pakaian, makanan proses, aksesori wanita, beg, kasut dan gajet.

“Kita mulakan di pantai timur kerana kita lihat di sana mereka ada kelebihan dan sebelum ini usahawan yang terdapat di sana berusaha sendiri. Jadi kita mahu bangunkan perniagaan mereka lebih tinggi dari tahap yang mereka capai sekarang.

“Selepas Kelantan, kita akan perluaskan hab dengan konsep yang sama ke seluruh negeri iaitu satu pusat pengumpulan barangan yang dijual pada harga borong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman Hab Pemborongan Usahawan Bumiputera Negeri Kelantan antara Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dengan Syarikat Liziz Standaco (LSSB).

Mohd Redzuan berkata hab pemborong usahawan terbabit akan menjadi pusat jualan yang bukan sahaja memasarkan produk usahawan dari TEKUN malah memberi peluang kepada usahawan Bumiputera untuk memperkenalkan produk keluaran mereka.

“Dengan adanya hab ini ia dijangka akan dapat menyokong pembangunan usahawan dalam meluaskan pasaran, meningkatkan skala perniagaan dan secara tidak langsung dapat menggalakkan ekonomi setempat.

“Selain itu juga, bangunan berkenaan akan menempatkan pejabat agensi kerajaan yang berkaitan keusahawanan untuk berurusan dengan masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TEKUN, Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor, berkata hab berkenaan dijangka dibuka kepada umum selewat lewatnya hujung tahun ini.

“Bangunan 10 tingkat itu akan menjual pelbagai barangan keperluan dengan harga 10 peratus lebih murah jika dibeli di tempat lain.

“Hab ini adalah yang pertama dalam Malaysia yang akan dipantau secara digital. Malah TEKUN juga akan membuat beberapa tapisan sebelum usahawan itu layak untuk jalankan perniagaan di situ,” katanya.

Berita Harian X