Selasa, 25 Jun 2019 | 6:32pm
KETUA Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

LHDN terima 3.339 juta BNCP

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima kira-kira 3.339 juta Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) daripada pembayar cukai individu sehingga jam 10 pagi, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata angka berkenaan menunjukkan peningkatan hampir 11 peratus berbanding penerimaan kira-kira 3.017 juta borang B, dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, daripada bilangan 3.339 juta BNCP pembayar cukai individu ini, kira-kira 284,000 borang adalah Borang B yang diterima daripada pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan perniagaan.

Beliau berkata angka berkenaan turut menunjukkan peningkatan hampir 17 peratus berbanding penerimaan kira-kira sekitar 243,000 borang Borang B dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

“LHDN ingin mengingatkan semua pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan perniagaan supaya segera mengemukakan BNCP mereka sebelum tarikh akhir pada 30 Jun 2019.

“Bagaimanapun, sekiranya mereka memilih untuk mengemukakan BNCP mereka melalui sistem e-Filing, LHDN memberikan tambahan masa mengemukakan borang sehingga 15 Julai 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi pembayar cukai yang memerlukan lebih masa untuk penyediaan akaun pendapatan perniagaan dan membuat pengiraan cukai pendapatan mereka, LHDN menggalakkan mereka memilih sistem e-Filing sebagai kaedah mengemukakan BNCP mereka.

“Mengemukakan BNCP melalui sistem e-Filing ini bukan saja memudahkan urusan pembayar cukai, malah turut membantu mereka membuat pengiraan cukai yang lebih tepat dan menjimatkan kos serta masa.

“Di samping itu, jika mengemukakan BNCP melalui e-Filing yang tidak memerlukan semakan lanjut, proses pembayaran balik cukai terlebih bayar (sekiranya ada) adalah lebih pantas iaitu dalam tempoh 30 hari bekerja berbanding secara manual iaitu sehingga 60 hari bekerja,” katanya.

Beliau berkata Fasa Pertama Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) dengan kadar penalti atas jumlah cukai sebanyak 10 peratus dilanjutkan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2019.

“Begitu juga dalam fasa kedua dengan kadar penalti atas jumlah cukai sebanyak 15 peratus yang akan bermula pada 1 Julai dan akan berlangsung sehingga 30 September 2019,” katanya.

PKPS adalah kaedah penyelesaian disediakan kerajaan kepada rakyat berhadapan isu pematuhan cukai terutama pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara, yang mana punca pendapatan dalam akaun terbabit adalah dari dalam Malaysia dan cukai pendapatannya masih belum diisytiharkan.

Beliau berkata dalam tempoh PKPS Fasa Pertama yang berbaki kurang satu minggu ini, LHDN turut menasihatkan pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai supaya segera menyertai PKPS di mana-mana cawangan LHDN dan laporkan pendapatan sepatutnya.

“Sekiranya tidak sempat berbuat demikian, pembayar cukai masih boleh melakukannya dalam PKPS Fasa Kedua dengan kadar penalti sebanyak 15 peratus.

“LHDN ingin mengulangi komitmen bahawa setiap pengakuan sukarela yang dilaporkan akan diterima dengan suci hati dan tiada semakan lanjut akan dilakukan terhadap pengakuan sukarela terbabit.

Sebarang keterangan lanjut, sila kunjungi Pejabat LHDN yang berhampiran atau hubungi Hasil Care Line LHDNM di talian 1-800-88-5436 atau 603-8911 1100 (Luar Negara); atau e-mel pertanyaan kepada: [email protected].

Berita Harian X