Khamis, 27 Jun 2019 | 6:47pm
ABDUL Yunus Jamhari.
ABDUL Yunus Jamhari.

Perak laksana sistem geospatial atasi isu ketirisan subsidi padi

IPOH: Perak menjadi negeri pertama memperkenalkan program pemutihan menerusi kaedah sistem geospatial bagi mengatasi isu ketirisan dan penyelewengan pemberian susbsidi padi kerajaan.

Kaedah geospatial menggunakan teknologi satelit bagi merakam gambar kawasan sawah yang diusahakan serta mengenal pasti jumlah sebenar kawasan padi di negeri itu, sekali gus mengatasi masalah data lot serta profil pesawah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari, berkata program pemutihan yang dilaksanakan Jabatan Pertanian negeri itu bertujuan mendapatkan data lengkap mengikut keadaan sebenar kawasan sawah luar jelapang di Perak.

Katanya, punca utama isu ketirisan dan penyelewengan pemberian subsidi padi kerajaan adalah kerana semakan terperinci sukar dilakukan disebabkan terdapat perubahan nombor lot pesawah yang lama kepada yang baharu, selain isu mendapatkan profil data pesawah itu sendiri.

“Menggunakan kaedah teknologi geospatial ini, Jabatan Pertanian Perak menghasilkan Buku Profil Projek Kawasan Program Skim Pengairan yang mengandungi data pemutihan kawasan luar jelapang.

“Buku berkenaan dapat membantu agensi yang berkaitan terutama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mengendalikan subsidi baja yang lebih efektif dan efisien,” katanya di sini, hari ini.

Abdul Yunus berkata, Skim Pengairan Changkat Jong dipilih sebagai kawasan perintis program itu yang bermula sejak Januari hingga bulan ini.

“Antara maklumat perbandingan yang diperoleh selepas pelaksanaan program pemutihan itu termasuk luas fizikal skim pengairan sebelum pemutihan adalah 2,046 hektar berbanding selepas pemutihan sebanyak 2,193 hektar.

“Bagi keluasan kawasan padi, sebelum pemutihan adalah sebanyak 1,888 hektar manakala selepas pemutihan sebanyak 1,884.88 hektar dan bilangan lot keseluruhan sawah di kawasan Changkat Jong daripada 825 lot menjadi 878 lot selepas pemutihan,” katanya.

Abdul Yunus berkata, selepas program pemutihan dilaksanakan di kawasan perintis itu, Jabatan Pertanian negeri mendapati kaedah itu dapat mengurangkan pembaziran dalam agihan peruntukan subsidi baja padi oleh kerajaan.

Katanya, ia berikutan adanya maklumat yang lebih tepat dan lengkap menerusi kaedah teknologi geospatial.

Berita Harian X