Jumaat, 28 Jun 2019 | 1:00pm
DR Lee Boon Chye

Penggunaan vape dalam kalangan pelajar membimbangkan

PUTRAJAYA: Penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah ketika ini amat membimbangkan.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata jawatankuasa khas berkaitan rokok elektronik atau vape yang diketuai beliau, akan mencari jalan bagi mengawal penggunaannya, khususnya membabitkan pelajar berumur 18 tahun ke bawah.

“Saya baru sahaja diamanahkan untuk mengetuai jawatankuasa berkenaan di mana kita akan mengkaji bagaimana cara untuk tangani masalah penggunaan rokok elektronik.

“Penggunaan rokok elektronik ini memberi impak negatif ke atas kesihatan dan ia sudah dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan.

“Selain itu, ia memberi kebimbangan kepada pihak kementerian kerana penjual rokok elektronik ini turut membuat promosi kepada pelajar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Institut Kanser Negara 2018, di sini hari ini.

Dr Boon Chye berkata, jawatankuasa berkenaan akan mula menjalankan usaha dan digerakkan secepat mungkin bagi mengatasi masalah penggunaan vape.

“Ini termasuk pembentangan rang undang-undang baharu berkaitan rokok elektronik.

“Kebetulan kita sudah lama rancang mengenai rang undang-undang itu dan berharap ia dapat dibentangkan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap supaya ibu bapa memainkan peranan untuk memantau pergerakan anak mereka.

“Saya berharap ibu bapa dapat memberi perhatian khusus kerana rokok elektronik ini banyak dijual secara atas talian, terutama melalui media sosial.

“Pihak kementerian turut menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memantau hal ini,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan akan merumuskan kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape tidak lama lagi.

Ini berikutan, satu jawatankuasa khas ditubuhkan kementeriannya yang diketuai Dr Boon Chye, kelmarin.

705 dibaca
Berita Harian X