Jumaat, 28 Jun 2019 | 2:45pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kelantan tarik balik tuntutan saman royalti minyak

KUALA LUMPUR: Pertikaian berhubung isu tuntutan royalti minyak membabitkan Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Persekutuan selesai hari ini.

Ia berikutan kerajaan negeri menarik balik tuntutan saman yang difailkan sembilan tahun lalu melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache membatalkan saman berkenaan tanpa sebarang perintah berhubung kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Dalam prosiding di kamar hakim itu, kerajaan negeri diwakili peguam Aleeya Elyana Ahmad Mahreez, manakala Peguam Kanan Persekutuan Natra Idris bertindak bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

Yang turut hadir, peguam Syukran Shafiq mewakili PETRONAS yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan tunggal dalam kes saman itu.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan kemudian berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua.

Selepas sembilan tahun kes berlarutan, kerajaan negeri pada 13 Mei lalu menarik balik saman berkenaan yang difailkan terhadap syarikat minyak dan gas nasional itu.

Melalui writ saman difailkan pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Kelantan menuntut PETRONAS membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.

Dalam penyataan tuntutan, kerajaan negeri itu juga menuntut bayaran ganti rugi dengan kos, namun tidak menyatakan jumlah spesifik tuntutan terhadap PETRONAS.

Kerajaan negeri itu berkata, Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975 jelas tertera PETRONAS harus membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak, sama ada daripada usaha cari gali di kawasan pantai atau di pesisir pantai.

Katanya, satu klausa perjanjian itu menjelaskan bayaran harus dibuat dua kali setahun, pada/atau sebelum 1 Mac dan pada/atau sebelum 1 September.

Pada Oktober tahun lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dilaporkan berkata pihaknya menarik balik saman itu kerana yakin terhadap ketetapan dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk mengagihkan royalti kepada kerajaan negeri.

Berita Harian X