Jumaat, 28 Jun 2019 | 10:37pm
Wajah ceria adik Ainul Mardhiah yang dikongsi oleh bapanya Ahmad Safiuddin. - Foto FB Ahmad Safiuddin Ahmad Razak
Wajah ceria adik Ainul Mardhiah yang dikongsi oleh bapanya Ahmad Safiuddin. - Foto FB Ahmad Safiuddin Ahmad Razak

Perkembangan kesihatan Ainul Mardhiah positif

KUALA LUMPUR: Kesihatan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi berusia 10 bulan yang menjalani pembedahan di United Kingdom (UK) sebelum ini terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

Ia dikongsikan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, di laman sosial Facebook sambil memaklumkan kemungkinan bayinya itu dapat dibawa pulang ke tanah air susulan perkembangan berkenaaan.

“Assalamualaikum semua, setiap hari berat badan Ainul naik. Doktor cakap kalau setiap hari menunjukkan perkembangan yang positif, Ainul boleh balik,” katanya.

Ahmad Safiuddin turut berkongsi gambar Ainul yang memakai baju berwarna merah jambu lengkap dengan ‘headband’ bercorak rama-rama.

Dalam perkembangan itu, ibu Ainul, Nurul Erwani Zaidi, 24, turut berkongsi perkembangan sama di laman Instagram miliknya sambil memaklumkan kesihatan Ainul semakin baik.

Perkongsian di Facebook Ahmad Safiuddin menerima lebih 20,000 tanda suka dalam kalangan netizen, manakala perkongsian Nurul Erwan di Instagram pula menerima 27,000 tanda suka.

“Mudah-mudahan segara Ainul boleh balik dengan kesembuhan secara total,” kata pengguna akaun Faceebook, Khairil Khider.

“Alhamdulillah..semoga Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin segera sembuh sepenuh nya dan perjalanan Ainul kembali ke Malaysia dipermudahkan Allah. Satu Malaysia tidak sabar menunggu kepulangan Ainul,” kata Amy Zuraidah.

“Alahaii comelnya kamu Sayang.... Alhamdulillah, Ainul sudah semakin sihat. Semoga membesar dengan baik dan sentiasa dalam lindungan Allah,” Syafikah Ismail.

Pada 10 Jun lalu, Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell tumor’ selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram selepas bertarung nyawa selama lima jam.

Berita Harian X