Ahad, 30 Jun 2019 | 8:50pm
Lukisan minyak bertajuk ‘Hijrah’ hasil tangan Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal menerima bidaan tertinggi pada Lelongan Seni Henry Butcher Art Auctioneers Edisi Khas Arkitek di Galeri Prima, Bangsar. - NSTP/Nadim Bokhari

Lukisan 'Hijrah' dibida RM313,600

KUALA LUMPUR: Lukisan minyak bertajuk ‘Hijrah’ hasil tangan Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal menerima bidaan tertinggi pada Lelongan Seni Henry Butcher Art Auctioneers Edisi Khas Arkitek di Galeri Prima, Bangsar.

Hijrah adalah simbolik penghijrahan itu dilukis pada tahun 1999 dan menerima bidaan berharga RM313,600, diikuti dengan lukisan Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein dan Abdul Latiff Mohidin, masing-masing RM291,200 dan RM268,800.

Sesi lelongan selama empat jam itu bermula pada jam 1 tengah hari tadi menampilkan 200 hasil seni lukisan pelukis hebat negara antaranya Allahyarham Khalil Ibrahim, Yusof Ghani dan Redza Piyadasa serta beberapa pelukis antarabangsa daripada Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Sementara itu, Pengarah Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA), Polenn Sim, berkata jumlah jualan pada sesi lelongan itu adalah sebanyak RM3.2 juta dengan 70 peratus daripada lukisan terjual.

Katanya ia sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding lelongan pada Mac lalu, yang menerima keuntungan sebanyak RM2.8 juta saja.

“Saban tahun memperlihatkan tiga pelukis tersohor ini sentiasa menjadi pilihan setiap kali sesi lelongan diadakan.

“Selain hasil karyanya yang agung ia turut dipengaruhi oleh trend, minat dan artis itu sendiri,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Selain itu tumpuan turut diberikan kepada seni batik Kalil Ibrahim yang diilhamkan pada tahun 1969. Ia antara karya awal dihasilkan dengan bemotifkan batik.

Bagi kategori Nanyang pula, hasil lukisan Chia Yu Chian bertajuk ‘Village’ dihasilkan pada tahun 1977 juga menjadi tumpuan, termasuk pelukis Kuo Juping, Khaw Sia, Yong Mun Sen dan Tew Nai Tong.

Berita Harian X