Rabu, 3 Julai 2019 | 5:54pm
PENGARAH Eksekutif KUM, Abdul Rashid Mohd (kiri) bertukar dokumen dengan Pengarah Urusan GK, Datuk Muhamad Guntor Mansur Tobeng sambil disaksikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri

Royalti minyak: Kelantan tunggu notis pemberhentian

KOTA BHARU: Pejabat Peguam Negara diharap dapat menyegerakan pemberian notis pemberhentian dengan segera bagi membolehkan bayaran royalti minyak diagihkan kepada Kelantan hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata secara keseluruhan, kes itu hampir berakhir, dan kini ia hanya membabitkan penfailan notis tidak menyambung semula kes ke mahkamah.

Katanya, ia membabitkan isu teknikal terakhir iaitu tindakan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Pejabat Peguam Negara dengan pemberian notis terbabit.

“Kita masih menunggu tindakan daripada Pejabat Peguam Negara kerana Mahkamah Tinggi sudah mengeluarkan keputusan, kes saman royalti antara kerajaan negeri, Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) dan Kerajaan Persekutuan sudah selesai.

“Kita harap notis itu akan disegerakan supaya tuntutan royalti dapat dimanfaatkan rakyat Kelantan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kelantan Utilities Mubaarakan Sdn Bhd (KUM) dengan Gading Kencana Sdn Bhd (GK), di sini, hari ini.

Memorandum itu ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif KUM, Abdul Rashid Mohd dan Pengarah Urusan GK, Datuk Muhamad Guntor Mansur Tobeng.

Jumaat lalu, pertikaian isu tuntutan royalti minyak selesai, selepas kerajaan negeri menarik balik tuntutan saman yang difailkan sembilan tahun lalu melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pihak mahkamah membatalkan saman berkenaan tanpa sebarang perintah berhubung kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Sementara itu, Muhamad Guntor berkata, GK bersama KUM dijangka melaksanakan pemasangan sistem solar di 40 bangunan kerajaan negeri ini dalam masa terdekat.

Katanya langkah itu bagi menyahut seruan Kementerian Tenaga Sains Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang menyasarkan peningkatan tenaga boleh diperbaharui daripada dua peratus kepada 20 peratus bagi tempoh 2025 hingga 2030.

“Pemasangan sistem itu juga akan dilakukan di 19 loji rawatan air serta medan telaga Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang dijangka memberi penjimatan bil elektrik sehingga RM4 juta setahun,” katanya.

Berita Harian X