Sabtu, 6 Julai 2019 | 12:10pm
Onn Norshal menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengurus kawasan MBO Sabah dan Sarawak, Carol Clarissa Nain selepas mengadakan lawatan ke MBO Cinema di The Springs Kuching. NSTP/Hazreen Mohamad
Onn Norshal menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengurus kawasan MBO Sabah dan Sarawak, Carol Clarissa Nain selepas mengadakan lawatan ke MBO Cinema di The Springs Kuching. NSTP/Hazreen Mohamad

Modul baharu Skim Wajib Tayang filem September ini

KUCHING: Modul baharu Skim Wajib Tayang akan diperkenalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjelang September ini.

Pengerusi Skim Wajib Tayang, Onn Norshal Hamzah berkata, modul yang bertujuan mengatasi isu filem tidak laku sedang dilihat dalam fasa terakhir.

“Pembentangan sedang dilakukan membabitkan sampel dokumen kepada lembaga pengarah, termasuk penerbit filem di Malaysia. Selepas itu, kami akan bertemu dengan pihak kementerian bagi kelulusan modul baharu itu.

“Kemungkinan September atau Oktober akan ada satu modul baharu skim itu. Kita akan tengok masa yang sesuai bagi penggunaan modul baharu nanti,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke pawagam MBO The Spring di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan modul baharu Skim Wajib Tayang yang pernah dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Menurut Onn, bagi memasuki Skim Wajib Tayang, semua keputusan dibuat mengikut peraturan ditetapkan.

“Penerbit tidak perlu bangkitkan isu sekiranya filem ditolak untuk memasuki Skim Wajib Tayang.

“Sebelum keputusan dibuat bagi tentukan tarikh dan jumlah pawagam diperoleh penerbit untuk tayangan, ahli jawatankuasa Skim Wajib Tayang akan membuat pratonton dan kemudiannya, mesyuarat untuk putuskan keputusan.

“Selepas ini, FINAS mungkin akan terbabit secara langsung dalam pengedaran dan pemameran bagi merancakkan ekosistem perfileman,” katanya.

Selain pawagam di Kuching, Onn bersama pasukannya turut mengadakan lawatan sama yang bertujuan mendapatkan input secara langsung bagi sektor pemameran melalui komunikasi dua hala bersama wakil pawagam di Miri, Bintulu dan Sibu.

Berita Harian X