Sabtu, 6 Julai 2019 | 4:02pm
MUKHRIZ Mahathir.

Tiada tolak ansur dengan kilang melakukan pencemaran

YAN: Tiada tolak ansur dengan mana-mana penguasaha kilang yang didapati beroperasi hingga menyebabkan berlaku pencemaran di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen kepada mana-mana pengusaha kilang yang gagal mematuhi peraturan operasi hingga menjejaskan kesihatan orang ramai.

“Kita ada menerima laporan (operasi haram kilang kitar semula) dan ada yang sudah kita ambil tindakan seperti diarah tutup dan peralatan kilang disita.

“Bagi kilang yang masih berdegil, bekalan elektrik dan air sudah dipotong serta diambil tindakan ke mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra Taman Muafakat Dulang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan BH mengenai kualiti udara di Sungai Petani berada dalam keadaan tercemar dipercayai berpunca daripada beberapa kilang kitar semula.

Mukhriz ketika mengulas lanjut mengakui walaupun tindakan sudah diambil, pihaknya masih menerima aduan daripada orang ramai memaklumkan terdapat aktiviti pada waktu malam serta bau busuk dipercayai berpunca dari kilang.

“Mungkin mereka ada tonto, tepati tidak kira siapa mereka guna, kalau haram ia tetap haram. Selain tidak mengeluarkan lesen kepada mereka kita harap barangan yang dibawa masuk ini disekat.

“Saya dimaklumkan ada yang menggunakan kod kastam yang sah untuk bawa bahan plastik yang bersih tetapi dalam kontena itu ada juga bahan yang tidak menepati syarat. Ini adalah taktik mereka membawa masuk barangan yang kita tidak benarkan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini ada kilang yang diarahkan berpindah ke Bukit Selambau, dengan kilang asal mereka ditutup.

“Mereka yang berpindah ini kita benarkan beroperasi. Itupun mereka perlu mengikut syarat tertentu seperti tidak boleh melakukan pencemaran, bahan plastik yang diproses mencapai tahap dibenarkan,” katanya.

142 dibaca
Berita Harian X