Sabtu, 6 Julai 2019 | 7:26pm
ORANG ramai mendapatkan durian percuma dalam Program Jom Makan Durian Sampai Pengsan di Kampung Sempeneh, Batu Kurau. - Foto Effendy Rashid

10,000 pengunjung `serbu' Program Jom Makan Durian, Makan Sampai Pengsan

TAIPING: Lebih 10,000 pengunjung menyerbu Program Jom Makan Durian, Makan Sampai Pengsan di Kampung Sempeneh, Batu Kurau, di sini yang sememangnya terkenal sebagai lubuk durian terbaik dalam kalangan peminat `raja buah’ itu.

Ia kali kedua dianjurkan sejak mula diperkenalkan tahun lalu, khusus apabila tibanya musim durian.

Keseluruhannya, 10,000 kilogram durian disediakan di kawasan perkarangan Masjid Kampung Sempeneh bersempena program itu bermula jam 10.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, peminat durian yang kebanyakannya datang dari seluruh pelusuk negara, selain penduduk setempat mula memenuhi kawasan berkenaan seawal jam 7 pagi.

Durian Kampung Sempeneh cukup dikenali sebagai durian terbaik Batu Kurau kerana mempunyai rasa dan tekstur yang baik berikutan kebanyakan pokok durian di kawasan itu ditanam di kawasan bukit yang sejuk berhampiran Banjaran Titiwangsa.

Ketua Kampung Sempeneh, Hisham Ismail, berkata dia cukup gembira dengan sambutan yang diterima daripada peminat durian dari seluruh negara yang sanggup datang ke kampungnya walaupun terpaksa mengharungi kesesakan lalulintas yang teruk.

“Ada pelawat yang datang dari Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pulau Pinang dan sanggup meredah kesesakan jalan raya semata-mata untuk menikmati durian Kampung Sempeneh.

“Rasa durian yang unik dengan rasa manis serta tekstur yang lembut memang tidak dapat dikalahkan dengan durian di tempat lain lain membuatkan pencinta durian ingin terus menikmatinya,” katanya.

Selain durian, penduduk turut menyediakan hidangan sampingan berasaskan durian antaranya pulut durian, serawa durian dan bubur durian, dengan 100 kilogram beras pulut serta 50 kilogram santan digunakan untuk menyediakan hidangan sampingan berkenaan untuk dijamu kepada pengunjung.

Sementara itu, pengunjung dari Pulau Pinang, Alias Abdul Rahman, 39, menyifatkannya kunjungannya sebagai berbaloi walaupun terpaksa meletak kenderaan agak jauh dan berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk ke tapak program.

“Akhirnya dapat juga saya merasai sendiri durian Batu Kurau, khususnya dari Kampung Sempeneh yang diperkatakan sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Izyani Sulaiman, 33, dari Perlis, menyambut baik penganjuran program itu, khusus bagi mempromosikan kawasan terbabit dalam konteks pelancongan.

Berita Harian X