Isnin, 8 Julai 2019 | 3:35pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye ketika menghadiri mesyuarat bagi penggal kedua Sidang Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA

RM2 juta laksana ujian kanser serviks

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memperuntukkan RM2 juta bagi pelaksanaan fasa pertama ujian saringan kanser serviks menggunakan kaedah ujian Virus Papiloma Manusia (HPV), yang akan dimulakan bulan ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata ujian saringan itu akan dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah dan Kelantan.

“Kementerian amat komited dalam usaha membanteras kanser serviks ini. Justeru, permohonan peruntukan dibuat untuk melaksanakan perkhidmatan ini secara berfasa sehingga ia menjadi dasar saringan utama bagi kanser serviks di peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang bertanya sama ada Kementerian Kesihatan akan mengukuhkan komitmen kewangan kepada usaha membasmi kanser serviks di negara ini melalui vaksin, teknologi baharu seperti “point of care diagnostics” dan program saringan kanser serviks HPV DNA yang mesra wanita.

Dr Boon Chye berkata, kanser serviks adalah kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita (kadar berstatus umur (ASR) 7.6 setiap 100,000 wanita) dan ketujuh tertinggi dalam kalangan penduduk Malaysia berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011.

Bagaimanapun, katanya, insiden itu meningkat kepada 10.5 setiap 100,000 berdasarkan kajian Globocan pada 2018, berbanding 6.5 setiap 100,000 pada 2011.

“Pada masa ini, ujian pap smear adalah saringan yang disediakan di semua fasiliti kerajaan dan bukan kerajaan bagi pengesanan awal kanser serviks.

“Bagaimanapun, kajian terkini menunjukkan jangkitan virus HPV berisiko tinggi adalah penyumbang kepada lebih 95 peratus penyebab kanser serviks,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan pengesanan awal, pelaksanaan saringan kanser serviks perlu diperluaskan kepada teknik ujian yang lebih berkesan, malah yang lebih penting memberi keselesaan dan autonomi kepada wanita.

“Kewujudan bukti kukuh untuk menyokong idea bahawa ujian saringan HPV mampu memberi impak positif dari sudut keupayaan bagi mengenal pasti virus penyebab kanser serviks untuk membolehkan intervensi selanjutnya dilakukan dalam mencegah kejadian kanser serviks,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah, Dr Boon Chye berkata, fasiliti kesihatan kerajaan mempunyai sasaran bagi wanita berusia antara 30 hingga 65 tahun untuk membuat ujian pap smear.

Berita Harian X