Isnin, 8 Julai 2019 | 7:07pm
Bangsal dibina oleh Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh yang ditinggalkan rosak kerana mereka berada sementara di PPS Etnobotani, Gua Musang. - Foto BERNAMA

Jumlah Orang Asli ditempatkan di PPS bertambah

GUA MUSANG: Seramai 64 penduduk Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh dimasukkan ke di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani, di sini semalam, menjadikan keseluruhannya 155 penduduk ditempatkan di pusat penempatan itu sehingga kini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang, Hizani Ibrahim, berkata pertambahan itu susulan mereka yang menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum ini mula dibenarkan keluar dari kedua-dua hospital berkenaan.

“Selepas menerima rawatan, mereka tidak dibenarkan pulang ke Kampung Kuala Koh, sebaliknya perlu tinggal di situ buat sementara untuk dikuarantin bagi mengelak jangkita semula penyakit dihidapi sebelum ini.


Kanak-kanak Orang Asli suku Batek ceria tinggal di PPS Etnobotani, Gua Musang. - NSTP/Ramli Ibrahim

“Sejak PPS itu dibuka 17 Jun lalu boleh dikatakan setiap hari jumlah Orang Asli suku Batek ditempatkan di situ bertambah. Keseluruhannya, 48 keluarga Orang Asli ditempatkan di pusat penempatan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, sejak ditempatkan di PPS Etnobotani, kesihatan penduduk terbabit juga bertambah baik kerana diberi rawatan setiap masa dan dijaga makan minum mereka.

“Tempoh masa mereka ditempatkan di situ juga belum dapat ditentukan sebelum dibenarkan pulang semula ke rumah di Kampung Kuala Koh,” katanya.

Berita Harian X