Selasa, 9 Julai 2019 | 4:35pm
Anwar Ibrahim hadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kaukus Parlimen bincang isu pengangguran siswazah B40

KUALA LUMPUR: Isu pengangguran siswazah, khususnya daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40), akan dibincangkan dalam mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, minggu depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kaukus itu akan turut membincangkan mengenai isu mahasiswa miskin di universiti awam (UA), yang berkait rapat dengan isu pengangguran berkenaan.

Katanya, isu pengangguran dalam kalangan siswazah daripada keluarga B40, antaranya berpunca daripada amalan pengambilan pekerja berdasarkan pengaruh dan hubungan dengan majikan.

“Kadang-kadang, sesuatu jawatan itu diberikan kepada orang yang mempunyai punyai hubung kait atau berpengaruh, sama ada dalam sektor awam atau swasta.

“Sebelum ini pula, ketika saya luncurkan (lancarkan) Tabung Yayasan Universiti Malaya (UM), kita dapati hampir 60 peratus mahasiswa di UA tergolong dalam kumpulan B40, dan 10 peratus daripada itu adalah yang paling rendah (miskin), yang memerlukan bantuan kewangan.

“Kedua-dua perkara ini terkait dan kita akan bawa hal ini pada perbincangan dalam kaukus minggu depan, iaitu masalah pengangguran dan isu yang dihadapi mahasiswa B40,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan BH Ahad, mengenai majoriti siswazah yang menganggur adalah mereka yang tergolong dalam kelompok kumpulan isi rumah terendah, B40 dan keluarga miskin.

Dapatan utama Kajian Pengesanan Siswazah dijalankan Kementerian Pengajian Tinggi pada 2015, mendapati kadar pengangguran dalam kalangan anak-anak daripada keluarga berpendapatan bawah RM1,000 sebulan, mencapai 42 peratus di peringkat diploma dan 28.1 peratus memiliki ijazah pertama.

Siswazah daripada keluarga berpendapatan di antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan, pula merekodkan pengangguran 30.9 peratus di peringkat diploma dan 22.2 peratus peringkat ijazah pertama.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur. Pada masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.

Berita Harian X