Khamis, 11 Julai 2019 | 12:35pm
AHMAD Safiuddin Ahmad Razak bersama anaknya Ainul Mardhiah. - Foto ihsan Ahmad Safiuddin

Ainul Mardhiah jalani rawatan fisioterapi

KUALA LUMPUR: Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital di London, 10 Jun lalu, perlu menjalani rawatan fisioterapi seperti disarankan pakar pediatrik di sana.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata Ainul Mardhiah kini sihat alhamdulillah, sekarang perlu menjalani fisioterapi bagi melancarkan pergerakan tubuh badannya selain terapi pertuturan.

“Pakar memaklumkan semua rawatan ini perlu bagi memastikan anak saya dapat membesar dengan baik seperti bayi normal lain.

“Teruskan berdoa untuk anak saya. Terima kasih rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi BH menerusi aplikasi WhatsApp, sebentar tadi.

Ahmad Safiuddin berkata, anaknya setakat ini stabil dan masih perlu menjalani sesi rawatan seperti disarankan oleh pakar pediatrik di sini.

Katanya, pakar menyarankan supaya Ainul Mardhiah meneruskan rawatan selain memerlukan rehat secukupnya kerana luka pembedahan masih baharu, sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia beberapa minggu lagi.

Beliau dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi, masing-masing berusia 24 tahun, dijadual akan terus berada di London menemani anak mereka bagi menjalani beberapa rawatan susulan seperti disarankan pakar di negara berkenaan.

“Saya tidak pasti berapa lama lagi kami akan berada di sini. Buat masa sekarang doktor kata perlu teruskan rawatan Ainul Mardhiah sehingga benar-benar sihat untuk kembali ke Malaysia,” katanya.

Kelmarin, Ahmad Safiuddin, terpaksa membatalkan hasrat untuk pulang ke tanah air lebih awal berikutan bayi perempuan mereka yang berusia 10 bulan yang menghidap `Germ Cell Tumour' itu, dikatakan masih tidak begitu sihat dan belum dibenarkan pulang ke tanah air.

Ainul Mardhiah sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam 10 Jun lalu,.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1juta itu berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Berita Harian X