Khamis, 11 Julai 2019 | 8:31pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (dua kiri) sertai operasi gempur kilang haram di Pasir Gudang. - Foto FB Jabatan Alam Sekitar

Menteri sertai operasi gempur kilang haram di Pasir Gudang

PASIR GUDANG: Operasi bersepadu menggempur kilang haram di Pasir Gudang, hari ini turut disertai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Menerusi entri dimuatnaik dalam laman Facebook Jabatan Alam Sekitar (JAS), operasi bersepadu itu membabitkan dua agensi iaitu Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan JAS Johor.

Turut dimuatnaik beberapa gambar yang turut menunjukkan kilang haram yang disita selain keadaan dalam premis yang kotor dan tidak tersusun.

Dalam kenyataan itu memaklumkan MPPG menyita beberapa kilang haram dan diarah henti operasi sebelum tindakan seterusnya mengarahkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik ke kilang berkenaan.

Kenyataan itu turut menyatakan fokus operasi pemeriksaan yang dilakukan adalah terhadap kilang haram yang tiada lesen perniagaan.

Hari ini, BH melaporkan sebanyak lapan lagi kilang dalam kawasan perindustrian di sini, digempur dalam operasi bersepadu, malam kelmarin menjadikan keseluruhan 237 premis sudah diperiksa sehingga pagi semalam.

Pengarah JAS negeri, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, berkata daripada lapan kilang diperiksa, sebanyak dua kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, sebuah kilang juga dikenakan notis daripada pihak MPPG kerana beroperasi tanpa lesen.

Daripada 237 kilang sudah diperiksa, sebanyak 132 kompaun, 55 Notis Arahan dan 11 Perintah Tahan Operasi dikeluarkan selain tiga premis disyor tindakan mahkamah.

Berita Harian X